August 10, 2022

Kerajaan Dalam Proses Muktamadkan Prosedur Umrah – Menteri Agama

2 min read

Kerajaan kini dalam proses memuktamadkan prosedur menunaikan umrah bagi rakyat Malaysia dengan Kedutaan Arab Saudi.

Antara aspek yang diberi tumpuan ialah meneliti isu pemberian visa umrah dan pelancongan kepada umat Islam yang bercadang untuk mengerjakan ibadah tersebut dalam tempoh terdekat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan berkemungkinan melihat dengan lebih dekat keperluan visa pelancongan dan umrah disekalikan agar tidak timbul masalah ketika buat mengerjakan umrah.

Sekiranya kedua dua visa tersebut dapat dibuat di Malaysia, proses itu, kata Zulkifli, lebih memudahkan rakyat negara ini untuk ke Tanah Suci.

Justeru, jelas beliau, keputusan mengenainya akan dimaklumkan apabila segala maklumat lengkap berkaitan
isu visa diperoleh.

“Kami sedang mengutip sebanyak mana maklumat. Kemungkinan kita akan tengok lebih dekat lagi bagaimana jika sekiranya kita boleh sekalikan sebagai contoh visa pelancongan dengan visa umrah,” kata beliau.

Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sumbangan Yadim di Musa’adah Pahang 2021 di Masjid Sultan Abu Bakar, Janda Baik di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Kamarul Arief Tuan Soh.

Pada majlis sumbangan Yadim di Musa’adah Pahang 2021 itu, sebanyak 140 kotak barangan dan keperluan harian dan wang tunai disumbangkan di tiga buah lokasi di Bentong iaitu Masjid Sultan Abu bakar, Maahad An Nur dan Maahad Tahfiz al-Quran Al Abrar.

Sementara itu, beliau berkata, Duta Arab Saudi di Malaysia juga telah bertemu dengannya dalam usaha menyelesaikan isu ini, namun, masih belum mendapat sebarang keputusan muktamad.

Zulkifli juga memberi jaminan keputusan mengenainya akan di maklumkan setelah mendapat maklumat lengkap.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Arab Saudi telah membuka kembali pintunya untuk pelancong dari 49 buah negara dan menarik balik sekatan kemasukan bagi pemegang visa pelancongan.

Syarat dan peraturan untuk mendapatkan visa pelancong dan memasuki Arab Saudi termasuklah imunisasi penuh dengan vaksin yang diluluskan kerajaan negara itu.

Pelancong dan pelawat dari 49 negara termasuk Malaysia, layak untuk memohon e-visa yang membolehkan mereka menunaikan umrah dan mengikuti pelbagai aktiviti melancong di seluruh negara itu.

Tanah suci mekah khususnya di Masjidilharam kini telah siap sedia menerima jemaah umrah dari luar Arab Saudi dan pintu antarabangsanya telah dibuka hari ini bagi kemasukan jemaah umrah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.