December 9, 2022

Reezal Merican Bersifat ‘Gantle’, Tampil Mohon Maaf

2 min read

Kegagalan mencapai sasaran tiga pingat termasuk satu emas, pencapaian kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih boleh dibanggakan.

Memohon maaf atas kegagalan kontinjen negara menghadiahkan emas pertama yang sudah lama didambakan seluruh rakyat Malaysia sejak 1956, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagaimanapun berkata, mereka akan bangkit dengan program lebih baik bagi meneruskan pemburuan di Paris 2024.

“Saya mewakili kontinjen Malaysia, ikhlas dan jujur ingin memohon maaf, minta ampun kerana tidak dapat sempurnakan impian untuk bawa balik tiga pingat, tak dapat membawa emas.

“Ia (pingat emas) kekal elusif tetapi ia adalah permulaan yang dapat kita lakukan dalam misi untuk ke Paris 2024.

“Pencapaian mereka kali ini dengan pendedahan atlet muda, saya optimis kita akan mulakan rentak baharu untuk melakar kejayaan lebih hebat demi negara,” katanya.

Malaysia berjaya meraih pingat perak menerusi Datuk

Azizulhasni Awang dalam acara berbasikal trek keirin, manakala gangsa dimenangi badminton melalui beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Kejayaan itu bagaimanapun masih pencapaian kedua terbaik Malaysia di Olimpik selepas Rio 2016 yang menyaksikan kita pulang bersama empat perak dan satu gangsa. Ia juga menyamai pencapaian negara pada edisi London 2012 dan Atlanta 1996.

Reezal turut mengakui cabaran yang dilalui atlet sepanjang setahun setengah ini susulan Covid-19 telah memberi kesan kepada pencapaian mereka di temasya tersebut.

“Ada negara tidak melaksanakan lockdown keseluruhan seperti negara Taiwan yang mana atlet agak bebas, ada negara Eropah walaupun melakukan lockdown tetapi penganjuran sukan berterusan.

“Malangnya atlet kita dalam tempoh itu, untuk 2020, daripada 89 kejohanan yang diluluskan hanya 32 sahaja berjaya disertai manakala tahun ini hanya 27.

“Saya terpaksa akui kita tidak dapat melakukan persiapan secara sempurna seperti dilakukan sebelum ini namun ini adalah dapatan awal post mortem yang dapat saya kongsikan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Reezal mendedahkan, satu program Khas Olimpik akan dilancarkan sebelum hujung tahun ini bagi memberikan lebih fokus dan dedikasi kepada sukan-sukan yang berpotensi untuk meraih pingat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *