December 8, 2022

Angka 20,000 Kes Positif Sehari, Pertimbang Semula Buka Sekolah

2 min read

Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) meminta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mempertimbangkan untuk mengkaji semula tarikh pembukaan sekolah secara bersemuka pada 1 September ini.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, ia susulan kes Covid-19 yang melepasi angka 20,000 pada masa ini.

“KPM juga perlu mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) juga data terkini berhubung kes daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jika kes semakin meningkat ia membimbangkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut beliau, pihaknya melihat sekolah wajar ditangguh ke tempoh yang bersesuaian sehingga menyakinkan semua pihak seperti sekolah, guru, ibu bapa dan murid- murid.

“KPM perlu membuat keputusan yang jelas dan tepat berdasarkan data dan sains untuk mengelak sekolah dibuka dan ditutup. Sebaiknya pihak KPM perlu ada pelan dan agenda yang jelas jika Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilanjutkan ke hujung tahun untuk mengelak keciciran murid dan mengatasi kelesuan motivasi semasa PdPR,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jika KPM kekal dengan pembukaan sekolah, pembukaan sekolah secara berfasa perlu dilaksanakan dengan keutamaan kepada sekolah luar bandar dan pendalaman yang kurang murid, berada di kawasan hijau dan di kawasan yang kadar penerima vaksinnya melebihi had imuniti kelompok.

“Kaedah pergiliran murid ke sekolah perlu dilaksanakan mengikut keutamaan murid. Murid-murid prasekolah dan tahap satu perlu diberikan keutamaan bagi menangani isu penguasaan menulis, membaca dan mengira (3M).

“Malah kuasa aotonomi diberikn kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam menentukan apa yang terbaik untuk sekolah dari sudut pembukaan serta pelaksanaan pengajaran.

“i-Guru memberikan kepercayaan penuh kepada pihak KPM atas keupayaan dan kemampuan mereka membuat keputusan yang tepat berdasarkan data dan analisis serta akur terhadap keputusan itu nanti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *