September 27, 2023

DARI MATA KITA : Ada Anti Vaksin Hanya Takut Vaksin COVID-19 Sahaja Kerana Maklumat Palsu

2 min read

 

Golongan anti-vaksin sebenarnya ada dua golongan ketika zaman pandemik COVID-19 ini melanda.

Sebenarnya satu golongan lagi bukanlah sejenis manusia yang anti vaksin tegar sangat sebaliknya mereka hanya takut kepada vaksin COVID-19 kerana banyak laporan yang tidak betul yang mengatakan vaksin wabak itu boleh menyebabkan kematian.

Satu golongan lagi memang tegar kerana semua vaksin yang diberikan akan ditolak termasuk vaksin untuk anak-anak mereka. Golongan ini pula mungkin menerima suntikan vaksin semasa zaman persekolahan sahaja.

Kerajaan melalui agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) mungkin boleh memulakan langkah mendekati golongan pertama tadi supaya penerangan dengan jelas dapat diberikan untuk mereka menerima suntikan vaksin COVID-19.

Kumpulan yang tidak tetap pendirian ini berisiko akan menyebabkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok akan terganggu.

BACA JUGA – Ambil Vitamin C Berlebihan Boleh Ancam Kesihatan – Pakar

Selain itu, mungkin juga golongan yang sebelum ini setuju untuk divaksin tetapi kemudian tidak setuju selepas berterusan membaca serta mendapat maklumat yang salah tentang vaksinasi.

Percayalah jika golongan pertama itu hendak menunaikan umrah atau fardhu haji, mereka pasti tidak akan ada masalah untuk menerima vaksin yang khas untuk mereka yang ingin ke tanah suci Makkah.

Semakin lama dibiarkan tanpa sebarang penerangan yang jelas, bimbang jumlah golongan ini akan semakin bertambah.

Mungkin boleh ditubuhkan satu pasukan penerangan di kawasan yang jumlah warganegara yang berdaftar untuk mendapatkan vaksin masih sedikit dan memberikan penerangan tentang fakta sebenar berkaitan vaksin.

Orang ramai yang sudah menerima suntikan vaksin lengkap juga boleh memainkan peranan penting menerangkan kepada rakan atau ahli keluarga yang masih ralat untuk menerima vaksin COVID-19 tentang betapa mustahak untuk mereka juga menerima suntikan vaksin berkenaan.

Dengan jumlah kes yang amat tinggi kira-kira 20,000, proses vaksinasi semua populasi dewasa di negara ini akan menjadi penentu kejayaan membawa keluar Malaysia keluar dari krisis pandemik ini yang membawa mudarat seluruh dunia. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *