December 8, 2023

Dapatkan Dua Dos Vaksin Dahulu, Baru Masuk Sekolah – Pensyarah

2 min read

Murid-murid kelas peperiksaan mesti mendapatkan dua dos vaksin Covid-19 terlebih dahulu sebelum dibenarkan ke sekolah pada 3 Oktober ini.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, hal ini bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan murid sekolah terjamin memandangkan kes jangkitan Covid-19 masih berada pada tahap membimbangkan.

“Begitu juga mesti dipastikan ibu bapa dan ahli keluarga yang dewasa di rumah juga telah lengkap mendapat dua dos vaksin sebelum anak-anak mereka boleh ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin hari menerusi rakaman video di media sosial Facebook hari ini memaklumkan, sesi persekolahan di seluruh negara yang sepatutnya bermula 1 September ini ditangguhkan kepada 3 Oktober ini.

Keputusan itu dibuat setelah meneliti perkembangan semasa membabitkan penularan Covid-19 di seluruh negara selain pembukaan sekolah dibuat secara berperingkat mengikut fasa PPN bermula dengan kelas peperiksaan.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak ada sekolah yang dibuka untuk negeri Fasa 1 PPN.

Bagi negeri-negeri Fasa 2 pula, sekolah dibenarkan buka bagi murid kelas peperiksaan sahaja manakala negeri Fasa 3, sekolah dibenarkan dibuka bagi murid kelas peperiksaan dan murid-murid lain.

Mengulas perkara itu, Anuar menyarankan, hanya murid sekolah yang mempunyai kelas peperiksaan perlu dibenarkan bersekolah bermula 3 Oktober ini sehingga hujung tahun ini untuk negeri-negeri Fasa 2 dan Fasa 3 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Murid-murid lain pula sebaiknya kekal meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sehingga cuti sekolah Disember ini.

Jelasnya, berdasarkan takwim persekolahan 2021, murid sekolah akan memulakan cuti akhir tahun bermula 11 Disember 2021 sekali gus menunjukkan mereka bersekolah selama empat hingga lima minggu sahaja.

“Oleh itu tidak banyak pembelajaran yang dapat dilakukan dalam tempoh masa tersebut. Ini juga dengan andaian sekolah tidak ditutup jika berlaku kes jangkitan di sekolah. Jika berlaku kes jangkitan di sekolah, minggu persekolahan akan berkurang dan akan mengganggu pembelajaran murid-murid.

“Selain itu, sesuai dengan baki hari persekolah yang masih berbaki, jadi adalah wajar untuk kerajaan meminimumkan risiko dan mengurangkan beban kewangan ibu bapa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *