December 9, 2023

Jadikan Langkawi Sebagai Projek Perintis Destinasi Gelembung Pelancongan

1 min read

Kerajaan sedang meneliti pandangan dan maklum balas daripada pemegang taruh berhubung rancangan menjadikan Pulau Langkawi, Kedah sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perancangan itu penting untuk kerajaan merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar kesihatan telah menyarankan kerajaan agar melaksanakan perancangan ini hanya apabila kadar vaksinasi lengkap penduduk Pulau Langkawi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya.

“Kumpulan yang dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi kelak pula adalah terhad kepada individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap. Cadangan ini sedang diteliti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan akan dimuktamadkan melalui beberapa lagi siri perbincangan selepas ini.

“Selain Pulau Langkawi, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di lebih banyak destinasi terutama yang mempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang baik seperti di pulau-pulau peranginan lain yang terdapat di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, bagaimanapun, perkara itu masih di peringkat perancangan dan kerajaan akan melihat hasil projek perintis (Pulau Langkawi) terlebih dahulu.

“Jika semua berjalan lancar, Insya-Allah gelembung pelancongan dilaksanakan secara lebih meluas,” jelas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *