Amerika Syarikat Tak Benarkan Taliban Akses Rizab Afghanistan Yang Berada Bawah Kawalannya
1 min read
Pejuang Taliban yang berjaya menawan Afghanistan ketika sedang berada di wilayah Laghman.
Kumpulan Taliban yang kini mengawal Afghanistan tidak dibenarkan untuk mendapat akses kepada mana-mana rizab di negara bergolak itu yang berada di bawah kawalan Amerika Syarikat (AS).
Seorang pegawai pentadbiran AS memberitahu agensi berita AFP semalam, sebarang aset Bank Pusat yang dimiliki kerajaan Afghanistan di AS tidak akan dapat diakses oleh Taliban.
Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada penghujung April lalu, rizab kasar Bank Pusat bagi Afghanistan berjumlah AS$9.4 bilion (RM39 bilion).
Menurut individu yang arif mengenai perkara itu, sebahagian besar dana berkenaan disimpan di luar Afghanistan tetapi tidak dijelaskan secara terperinci mengenai aset milik negara itu di AS.
Penguasaan militan Taliban di negara itu berlaku ketika pengunduran tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) susulan keputusan Presiden AS, Joe Biden, memanggil pulang semua pasukan tenteranya menjelang akhir bulan ini.
Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani meninggalkan negara itu malam kelmarin ketika pemberontak mengepung ibu kota, sekali gus meraikan kemenangan kumpulan militan itu yang berjaya menawan semua bandar hanya dalam tempoh 10 hari.
Washington juga boleh menyekat bantuan ke Afghanistan termasuk daripada IMF dan Bank Dunia, sebagaimana pernah dilakukan terhadap negara lain seperti Venezuela, kerana tidak mengiktiraf kerajaan itu.
Pada Jun lalu, IMF meluluskan pinjaman terbaru AS$370 juta (RM1.5 bilion) yang sepatutnya diagihkan November ini untuk membantu menyokong ekonomi negara itu yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.
Ketika itu, IMF berkata, kerajaan meneruskan rancangan ekonominya seperti biasa walaupun berdepan ancaman keselamatan dan ketidaktentuan berikutan rundingan damai dengan Taliban terhenti.