Vaksin COVID-19 CanSino Jenis Satu Dos Suntikan Sudah Tiba Ke Malaysia
1 min read
Penghantaran vaksin ConSino diturunkan dari pesawat MH361 Malaysia Airlines yang membawa vaksin berkenaan dari China. Ia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto Berita Harian Online.
Malaysia akan mula menyuntik vaksin yang hanya memerlukan satu dos sahaja selepas menerima sejumlah 200,000 dos vaksin jenis CanSino dari pembekal CanSino Biologics, China, hari ini.
Dalam satu kiriman di media sosial, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata vaksin berkenaan diterima dalam bentuk produk yang sudah siap.
“(Sebanyak) 3.5 juta dos vaksin CanSino sudah ditempah dengan penghantaran berperingkat. Ini juga adalah vaksin COVID-19 satu dos yang pertama di Malaysia,” katanya.
Setakat ini, profil vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan Februari lalu membabitkan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech (Cominarty), Sinovac (CoronaVac) dan AstraZeneca manakala satu lagi vaksin iaitu Johnson & Johnson juga sudah mendapat kelulusan bersyarat.
Sementara itu, ketibaan vaksin berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.50 pagi dengan penerbangan MAS Kargo menggunakan pesawat MH361 dengan dari Beijing, China disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Dr Mohd Nor Azman Hassan.
KKM dan MOSTI dalam satu kenyataan, berkata Solution Biologics adalah Pemegang Pendaftaran Produk bagi CanSino di Malaysia dan vaksin itu mendapat kelulusan penggunaan bersyarat untuk kegunaan kecemasan di negara ini oleh Pihak Berkuasa Bekalan Dadah (PKBD) pada 15 Jun lalu.
Dengan ketibaan vaksin berkenaan, ia bakal memudahkan pemberian vaksin terutama di kawasan yang rendah akses dan seterusnya membantu Malaysia mencapai sasaran imuniti kelompok seperti yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut garis masa yang ditetapkan.