Tiada Lagi Had Dalam Kenderaan Bagi Mereka Yang Lengkap Dos Vaksin
2 min read
Pergerakan bagi individu yang telah lengkap divaksin dibenarkan berdasarkan jumlah kapasiti kenderaan di negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut makluman terbaharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemas kini semalam, ini bermakna tiada had jumlah individu dalam satu kenderaan, sebaliknya mereka yang belum lengkap divaksin, prosedur operasi standard (SOP) lama masih terpakai.
SOP itu ialah had dua orang dari isi rumah sama ada untuk keluar mendapatkan barangan asas, serta had tiga orang jika salah seorangnya merupakan pesakit yang perlu diiring bagi mendapatkan rawatan atau untuk kes kecemasan.
SOP terbaharu ini turut menyatakan tiada lagi had perjalanan 10 kilometer asalkan dalam daerah yang sama, namun, perjalanan rentas daerah masih dilarang.
Dalam pada itu, mereka yang tidak lengkap dua dos imunisasi Covid-19 atau langsung belum divaksin masih lagi boleh memasuki premis sektor perdagangan pengedaran dibenarkan termasuk restoran, pasar raya, farmasi, dobi layan diri, kedai perkakasan dan cermin mata.
Premis lain turut meliputi kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan, e-dagang, bengkel kenderaan, stesen minyak, kedai buku dan alat tulis serta komputer dan telekomunikasi.
Peniaga premis dan pekerja mereka juga tidak diwajibkan vaksin, malah syarat itu melibatkan kesemua negeri Fasa 1 dan 2 PPN.
Ia susulan pengumuman bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin melonggarkan beberapa sektor bagi lima negeri dan dua Wilayah Persekutuan dalam Fasa 1, antaranya kebenaran makan di premis makanan bagi mereka yang sudah lengkap imunisasi selepas habis tempoh matang mengikut jenis vaksin diterima berkenaan.
Bagaimanapun, menerusi makluman terkini yang disiarkan MKN, mereka yang telah lengkap vaksinasi juga dibolehkan memasuki 11 jenis premis sektor perdagangan dan pengedaran meliputi kedai cuci kenderaan, elektrik dan elektronik, barang rumah dan peralatan dapur, perabot, peralatan sukan, aksesori kenderaan, jualan kenderaan serta pakaian dan fesyen.
Para pelanggan terbabit juga malah diberikan keistimewaan untuk dibenarkan memasuki kedai barang kemas, gunting rambut dan salun kecantikan serta pasar pagi dan pasar tani.
Makluman terbaharu MKN itu sekali gus memberi isyarat bahawa mereka yang belum lengkap mendapat imunisasi adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa dan pengusaha premis perlu melakukan proses saringan sijil vaksinasi digital.
Kelonggaran diberikan itu antara inisiatif kerajaan bagi menggalakkan rakyat menerima vaksin sekali gus mencapai sasaran imuniti berkelompok dalam usaha mengekang wabak Covid-19 dan kemudahan sedemikian turut dilaksanakan di luar negara demi menghidupkan semula sektor ekonomi agar tidak terjejas serta mengimbangi kesihatan awam.