December 5, 2022

Menjelang 2022, Nak Masuk Venice Mungkin Perlu Bayar RM50

1 min read

Majlis perbandaran Venice merancang untuk mengenakan bayaran kepada para pelancong yang ingin memasuki bandar ini menjelang 2022.

Menurut Bloomberg, pelancong berkemungkinan dikenakan bayaran antara tiga hingga 10 euro (RM15 hingga RM50), bergantung pada musim dan juga masa ketika itu.

Namun, penduduk tempatan, saudara penduduk dan pelancong yang menguruskan hotel di bandar ini akan dikecualikan daripada bayaran kemasukan tersebut.

Venice merupakan satu daripada bandar pelancongan paling popular di dunia dan usaha untuk mengawal kebanjiran pelancong di bandar ini sudah lama didebatkan oleh pelbagai pihak.

Cadangan itu dikemukakan selepas Itali melarang kapal-kapal besar berlepas dari Venice bermula bulan ini.

Sebelum pandemik Covid-19, sejumlah kapal persiaran akan membawa para pelancong berlabuh di Venice, namun tindakan itu didakwa menjejaskan kehidupan marin di bandar ini.

Menteri Budaya Itali, Dario Franceschini berkata, kerajaan membuat keputusan untuk bertindak segera bagi mengelakkan bandar ini dimasukkan dalam ‘senarai bahaya’ warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

UNESCO pada bulan lalu bercadang untuk meletakkan Venice dalam senarai bahaya warisan dunia selepas nilai sejarah di bandar ini didakwa semakin merosot.

Leave a Reply

Your email address will not be published.