October 3, 2023

Video Lelaki Dikatakan Curi Ayam Untuk Dijual Sebagai Ayam Golek Tular

2 min read

Lelaki berkenaan dilihat mengangkat besen penuh berisi ayam yang dikatakan dicuri untuk dijadikan Ayam Golek untuk lelaki berkenaan berniaga. Foto Facebook.

 

Sejak semalam, ada satu video jadi tular di media sosial menunjukkan tindakan seorang lelaki yang mungkin sedang mencuri ayam di sebuah kedai dan ayam itu digunakan untuk dimasak menjadi ayam golek untuk dijual pula kepada orang ramai.

Laman Facebook Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia, semalam berkongsi beberapa gambar yang diambil dari petikan video rakaman kamera litar tertutup CCTV menunjukkan seorang lelaki yang memakai pelitup muka masuk ke dalam sebuah premis dan mengambil ayam mentah yang diletakkan di dalam sebuah besen.

Lelaki itu yang dilihat memandu sebuah kereta Volkswagen model Golf dikatakan berniaga ayam golek di bawah khemah tetapi lokasi sebenar tidak dapat dipastikan.

Di dalam video yang tular, ia memaparkan seorang lelaki dilihat membuat tinjauan di dalam premis itu seakan tercari-cari sesuatu.

Gambar dari rakaman CCTV menunjukkan lelaki berkenaan memegang ayam yang diambil dari dalam sebuah kotak sejuk beku sebelum dicampak ke dalam besen.

 

Gambar dikatakan lokasi tempat lelaki berkenaan berniaga.

Kemudian, dia dilihat menemui apa yang dicarinya iaitu ayam mentah yang kemudian diambil dan dicampakkan ke dalam sebuah besen sebelum kemudian berlalu pergi dengan kereta tanpa menutup semula bekas ayam tadi.

Netizen di media sosial mengecam tindakannya kerana tergamak mencuri ayam mentah yang kemudiannya digunakan pula untuk berniaga.

Jika ada yang mengenali dan tahu lokasi tempat lelaki ini berniaga, ayam yang dijual olehnya sudah tidak boleh dimakan kerana ia sudah diketahui ayam curi.

Jika hendak dijadikan contoh, ini adalah satu contoh perbuatan menzalimi diri sendiri atau menipu diri sendiri.

Mencari pendapatan dengan berniaga menjual makanan yang sepatutnya halal tapi mendapatkan bahan mentah dengan cara mencuri. Kesudahannya, kerja berniaga yang dijalankan pun tak berkat serta mendapat rezeki yang tidak halal. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *