August 10, 2022

Junjung Nilai Keluarga Malaysia Tugas Kita Bersama

4 min read

 

Oleh : Sarfarizmal Saad Bekas Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 

Sejak tanah air ini dimiliki semula oleh anak watan daripada tangan-tangan asing penjajah, ketulenan penyatuan sesama kita tidak pernah berlaku sebenarnya. Jika ada pun, hanya sekelumit dari para penyokong sukan, hiburan dan hobi.

Jika nak mencari keabsahan dan penyatuan atas nama politik, agama, bangsa atau tanah mulia ini, pasti tiada siapa mampu menemuinya.

Itulah kita, warga Malaysia yang sejak dari dahulu lagi amat gemar berpuak-puak, bergaduh sana sini dan cukup sukar untuk bersatu hati dalam sesuatu perkara.

Apatah lagi dikala zaman dipenuhi dengan akaun-akaun Facebook, Twitter, Instagram, Blog, Clubhouse, TikTok, Telegram dan WhatsApp ini, mana mungkin kita mampu berjumpa dengan penyatuan yang benar-benar molek lagi luhur hati.

Jauh sekali untuk kita akur dan patuh saranan pemimpin negara agar sama-sama berjeda sekejap dari ketotokkan politik atau ideologi, demi menyelamatkan ‘nyawa dan poket’ kita semua – impak negatif pandemik Covid-19.

Saya tertarik dengan pandangan yang dilontarkan bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini dalam Berita Harian bertarikh 26 Ogos 2021 (Khamis) dengan tajuk “Menerapkan konsep keluarga dalam politik, perangi pandemik”.

Beliau secara halus dan telus memanggil kita semua untuk menghayati semula frasa yang keluar dari mulut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu kita semua berlindung dalam sebuah keluarga terbesar digelar ‘Keluarga Malaysia’.

Kehadiran Ismail Sabri dengan konsepnya ‘Keluarga Malaysia’ ini merupakan ‘vaksin dan ubat’ paling berkesan untuk kita keluar dari pandemik Covid-19. Kita tidak boleh berharap hanya kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semata-mata, tanpa ada kesedaran dan jati diri masing-masing untuk saling bantu menang bersama.

Dinamiknya ‘Keluarga Malaysia’ ini memungkinkan kita semua mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan dalam suasana harmoni, selagimana ia selari dengan ‘Big Why’ tujuan kita.

Datanglah apa jua jenis cabaran, masalah, rintangan atau persoalan, andai kita punya ‘Big Why’ yang sama di setiap jati diri dan pemikiran lebih 32 juta penduduk Malaysia, maka kita pasti menang bersama.

Apa ‘Big Why’ dalam sebuah keluarga besar ini? Bagi jangka masa pendek, sudah tentu kita semua mahukan suasana kembali pulih seperti sedia kala. Norma lama yang terakhir kali kita amalkan pada awal tahun 2020 dapat diadaptasikan semula, kalau boleh mulai esok hari.

Jika kita sekadar berpeluk tubuh, menunding jari dan mengharap barisan hadapan serta penjawat awam sahaja yang bertungkus lumus berusaha, maka dimana letak duduk kualiti diri selaku warganegara?

Sampai bila kita mahu melihat angka kes harian dijangkiti virus Covid-19 terus bertambah? Sampai bila kita mahu menjadi saksi kepada kematian demi kematian akibat virus ini?

Ya, memang benar tiada siapa yang tahu berapa lagi jumlah mereka yang bakal kehilangan ahli keluarga akibat virus tersebut. Namun, tanya kepada diri sendiri kembali, apa sumbangan kita pula?

Takkanlah sekadar melayari Facebook, Twitter, Instagram, selepas itu menghantar berita tidak sahih melalui WhatsApp dan Telegram? Selepas penat, kita menari pula di laman TikTok?

Berapa ramai lagi yang akan hilang pekerjaan dan punca pendapatan? Berapa ramai lagi yang akan bertindak membunuh diri kerana mentalnya makin ‘koyak’?

Semua ini akan terus berlaku jika ‘whole of government approaches’ tidak disambut baik dengan ‘whole of society approaches’ yang melibatkan kita semua, termasuk golongan pemain politik di negara ini.

Andai para pemain politik khususnya di seberang sana asyik menggunakan senjata politik untuk menyerang, melemahkan dan meruntuhkan kerajaan, maka sampai bila kita akan memperoleh kemenangan ‘Big Why’ ini?

Oleh sebab itu, ramai yang gemar apabila Ismail Sabri membuat kelainan dengan menjemput untuk berbincang dengan tiga pemimpin berpengaruh dalam blok Pembangkang pada 25 Ogos lalu.

Ismail Sabri sudah mula membuka pintu jalan mengangkat dan menjulang semula kehormatan politik, yang tidak semestinya berasaskan kesumat dendam dan arus kesombongan, serta tidak terikut-ikut dengan corak ‘warload’ terdahulu.

Bak kata Reezal Merican, Jangan mencipta kesumat – atas landasan kekalahan dan kerisauan peribadi. Setuju, parti lebih besar daripada mana-mana individu. Gunalah sifir sama untuk melihat kelemahan dan kekhilafan diri sendiri.

Bukankah di dalam al-Quran pernah disebut : “Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfal: 61).

Dalam kerangka politik pula, adalah wajar ia menjadi ruang memuliakan persahabatan dan kerjasama. Tidak meninggalkan sahabat ketika susah. Tidak pula mensabotaj watan kerana hati menjadi rentan.

Tidak menghina dan memperkecilkan peranan yang boleh diisi teman di denai politik berlainan.

Bukankah aturan Allah SWT ini seharusnya mengajar kita untuk lebih berhemah, bertawaduk dan rendah diri dengan kuasa?

Wang dan harta bukanlah segala-galanya. Dalam politik, akhlak dan peribadi mulia jua yang menjadi akar tunjangnya.

Justeru pada saya, dua kelompok warganegara harus sama-sama berperanan drastik menganggap bersama bahawa ‘Keluarga Malaysia’ itu adalah rangkuman blok-blok fungsi yang turut melibatkan setiap seorang daripada kita.

Siapakah dua kelompok berkenaan? Mereka ini seisi warga dan juga ahli-ahli politik khususnya Pembangkang di Malaysia.

Jika dua kelompok ini sehaluan dan senada dalam menyahut konsep ‘Keluarga Malaysia’ untuk tujuan menang bersama melawan pandemik Covid-19, maka percayalah Allah SWT akan membantu kita mempercepatkan kemenangan ini.

Ayuhlah sama-sama kita menyusun dan berkelakuan secara lebih positif terhadap epidemiologi paling besar di dunia saat ini. Semoga kita benar-benar mengadaptasi konsep ‘Keluarga Malaysia’ sebaiknya.

Sarfarizmal Saad adalah bekas editor sebuah portal berita dan pernah bertugas dalam bidang penjenamaan media dan pengurusan komunikasi.

Mempunyai latar belakang dalam bidang strategi, hubungan antarabangsa dan perang saraf media. Minat menulis tentang isu-isu semasa tanpa bias.

Leave a Reply

Your email address will not be published.