Jangan Beri Ruang Kumpulan Anti Vaksin Anggap Perbuatan Mereka Satu Kejayaan
2 min read
Semua orang tahu bahawa kerajaan tidak meletakkan sebagai satu syarat wajib untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Bagaimanapun, dek kerana kesedaran dan kerana warga Malaysia mempunyai pemikiran matang demi masa depan yang kembali normal selepas negara hampir satu tahun lebih berdepan wabak pandemik yang dahsyat ini.
Kesannya, kini beberapa negeri di Malaysia sudah pun mencapai tahap imuniti kelompok dan penduduk boleh kembali mula hidup seperti dulu dengan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula dan lebih banyak majlis sosial dibenarkan untuk diadakan.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) masih berjalan dengan proaktif untuk memastikan semua populasi orang dewasa di Malaysia sudah mendapat suntikan vaksin COVID-19. Di celah-celah orang yang ingin mendapatkan vaksin ini, wujud satu kumpulan yang enggan disuntik dan mereka digelar anti vaksin.
Sekarang, golongan ini tampak gembira kerana kerajaan masih belum ubah pendirian serta polisi bahawa mendapatkan suntikan vaksin adalah tidak diwajibkan malahan ia adalah hak individu.
Ketika ini, ada kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan mereka yang masih belum divaksin menggunakannya seperti makan di restoran, masuk ke sesetengah premis membeli-belah dan masuk ke dalam pusat beli-belah tetapi mereka sekarang melihat ruang lompang yang ada di celah-celah norma baharu untuk ambil kesempatan.
Walaupun kerajaan sudah mengeluarkan arahan supaya para peniaga memeriksa sijil digital vaksinasi orang ramai untuk melihat bahawa mereka sudah lengkap suntikan 2 dos dan lengkap tempoh 2 minggu selepas suntikan ke-2 tetapi banyak premis tidak mematuhinya.
Ia ekoran para peniaga sudah terdesak untuk menerima pelanggan kerana banyak sekatan operasi dikenakan ketika negara dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama lebih setahun setengah.
Orang ramai berharap kerajaan akan melihat perkara ini dengan serius dengan menutup ruang ini supaya golongan anti vaksin tidak melihat ia sebagai satu kejayaan buat mereka dengan berfikir kerajaan menuruti apa yang mereka lakukan dengan tidak mahu menerima suntikan vaksin.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam sidang media pertamanya menerajuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata kementerian itu akan melihat untuk melaksanakan dasar ujian saringan kebangsaan untuk mereka yang enggan mengambil suntikan vaksin.
Menurut beliau, langkah itu diambil untuk menangani jangkitan wabak sekiranya masih ada kumpulan yang enggan disuntik vaksin tanpa ada alasan perubatan yang kukuh.

“Antara isu dibincangkan termasuk ‘dasar ujian saringan kebangsaan.
“Sebaik memasuki fasa endemik (pengurusan Covid-19), anda perlu membuat ujian kendiri dengan kerap, sama ada sudah divaksin atau tidak,” katanya.
Bagi yang enggan menerima suntikan vaksin, mereka pula perlu menjalani ujian saringan secara berjadual.
Kita sama sekali tidak mahu dek kerana kedegilan mereka, ia akan menjadi sebab penularan wabak COVID-19 kembali merebak dan menjejaskan perjalanan kehidupan kita.
Lebih-lebih lagi nanti, selepas negara mencapai tahap imuniti kelompok, kita perlu menerima kebenaran bahawa COVID-19 merupakan satu endemik iaitu virus itu akan tetap hidup dan berada dalam lingkungan masyarakat warga Malaysia. – SEPATAH DUA