September 27, 2023

Kerajaan Akan Kekalkan SOP Wajib Pemakaian Pelitup Muka

2 min read

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika mengadakan sidang media semalam berkaitan perkembangan pandemik COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya.

 

Kerajaan setakat ini tiada perancangan untuk melonggarkan pemakaian pelitup muka jika ada pengumuman untuk melonggarkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media sulung beliau semalam selepas memulakan tugas secara rasmi menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin lepas.

“Pemakaian wajib pelitup muka akan diteruskan. Kita sudah melihat pengalaman di negara lain yang menyaksikan mereka telah melonggarkan pemakaian wajib pelitup muka mereka namun dengan adanya varian baharu, mereka terpaksa memperkenalkan semula pemakaian wajib pelitup muka mereka.

“Di Malaysia, kita akan mengamalkan pendekatan yang berhati-hati. Kita kekal dengan pemakaian pelitup muka,” katanya.

Selain itu, Khairy turut mengumumkan bahawa Malaysia dijangka akan memasuki fasa endemik COVID-19 pada Oktober selaras sasaran kerajaan memastikan sekurang-kurangnya sebanyak 80 peratus populasi dewasa di Malaysia sudah mendapat vaksin pada bulan berkenaan.

Masyarakat perlu menerima hakikat untuk hidup bersama virus itu meskipun negara berjaya mengawal pandemik COVID-19, katanya.

Menurutnya, walaupun negara sudah masuk ke dalam fasa endemik, rakyat masih perlu mematuhi SOP yang ditetapkan dan melakukan kawalan kendiri kerana langkah itu akan membolehkan pelbagai sektor dalam negara kembali dibuka manakala kehidupan rakyat berfungsi seperti sedia kala dalam norma baharu.

Khairy juga ada mengumumkan bahawa kerajaan akan menggariskan beberapa langkah untuk memudahkan SOP sedia ada supaya tidak terlalu banyak, rumit dan jelas agar rakyat dapat mengamalkannya apabila negara sudah berada dalam fasa endemik.

“Ini konsisten dengan pendekatan negara yang sudah pun beralih dari pembendungan menyeluruh kepada fasa endemik dan satu norma baharu diperkenal untuk kita hidup secara selamat serta sihat walaupun virus ini masih lagi berada dalam kalangan kita,” kata Khairy.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Keong.

Endemik merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu.

Ini termasuk penularan wabak dalam skop yang lebih besar seperti melibatkan sebuah negara. – SEPATAH DUA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *