Bermula 16 September, Siapa Yang Layak Boleh Melancong Ke Pulau Langkawi
2 min read
Anda yang layak boleh nanti travel ke Pulau Langkawi!!
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah mengumumkan kerajaan bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan dalam masa terdekat dengan Pulau Langkawi menjadi destinasi pertama bermula 16 September ini.
Menurut beliau, bagaimanapun pembukaan sektor itu berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.
“Sukacita dimaklumkan bahawa, mesyuarat bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program “travel bubble” berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.
“Sebagai permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September,” jelasnya.
Tambah Perdana Menteri, destinasi pelancongan yang lain pula akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.
Sektor pelancongan sebelum ini antara yang terkesan selepas pandemik COVID-19 melanda negara.
Sebelum ini, industri pelancongan dan kebudayaan negara dilaporkan mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik COVID-19.
Sementara itu, hari ini Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukry berkata pemilihan Pulau Langkawi sebagai projek rintis pembukaan sektor pelancongan domestik memberi ruang perniagaan kepada pemain industri yang selama ini terjejas akibat pandemik COVID-19 untuk bermula semula.
Beliau berkata, pembukaan itu mengatasi kerisauan pekerja yang hilang punca pendapatan selain hotel yang ditutup akibat ketiadaan pelanggan.
“Kita serba salah, satu kena lihat dari faktor ekonomi, satu lagi dari segi nilai kehidupan orang, untuk hidup. Kita takut apabila ada COVID-19, macamana keadaan mereka. Sebab itu kita kehendaki mereka perlu lengkap dua dos vaksin untuk pergi ke mana-mana.
“Begitu juga hotel, mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang begitu ketat sekali, jadi mereka tidak mahu nama mereka terjejas.
“Sama juga dengan penerbangan, mereka hendak menjaga persepsi atau imej mereka. Mereka tidak mahu kalau ada kluster. Ini yang kita tekankan kepada semua pihak untuk mereka mula membuka perniagaan mereka,” katanya menurut laporan portal Astro Awani.