October 3, 2023

Kerajaan Akan Umumkan Sesuatu Berkaitan Industri Hiburan Dan Pawagam Tak Lama Lagi

2 min read

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

 

Mungkin tidak lama lagi, para kaki wayang akan boleh kembali ke pawagam menonton filem kegemaran anda seperti sebelum ini tetapi sudah pastinya dengan norma baharu.

Sejak negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun lepas, industri hiburan khususnya filem dan pawagam dilanda ketidaktentuan ekoran pawagam tidak dibuka untuk memboleh para pembikin filem menayangkan filem mereka.

Kini, selepas kadar vaksinasi telah menunjukkan kesan yang baik serta banyak sektor kembali dibuka, para pengusaha pawagam di seluruh negara juga sudah tidak sabar untuk kembali beroperasi secara penuh.

Terbaharu, rangkaian pawagam terkenal, Golden Screen Cinemas (GSC) memuat naik ciapan yang meminta supaya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa membuka pawagam sekaligus merancakkan semula industri seni tempatan.

Ciapan itu mendapat perhatian dari beliau dan kemudian membalasnya dan memberitahu ada pengumuman yang akan dibuat tidak lama lagi melibatkan industri seni dan pawagam tidak lama lagi.

“Ya, saya sedar keadaan pawagam-pawagam di Malaysia dan saya sudah membawa isu ini ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama isu-isu lain berkenaan industri kreatif.

Ciapan dari Twitter GSC Cinemas yang tidak sabar untuk pawagam kembali dibuka.

“InsyaAllah kerajaan akan mengumumkan sesuatu tidak lama lagi,” katanya.

Beberapa pawagam besar yang lain seperti TGV Cinemas, MM Cineplexes dan LFS Cinemas turut menyatakan rasa tidak sabar untuk mengetahui pengumuman tersebut.

Malah, Annuar pada semalam juga ada menyatakan bahawa kelonggaran untuk industri kreatif akan dibentang ke MKN untuk dipertimbangkan segera.

“Para pendukung industri kreatif sudah begitu lama terkesan dengan PKP.

“Tiba masanya kita bentang ke MKN untuk segera pertimbangkan kelonggaran dgn SOP tertentu,khasnya bagi mereka yg sudah di beri dua suntikan vaksinasi.Semoga ada berita baik buat mereka tidak lama lagi,” katanya.

Malah, Annuar turut memberitahu yang akan ada berita gembira melibatkan semua penggiat seni dan industri kreatif dan sebarang perincian akan dimaklumkan selepas pengumuman dibuat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *