June 1, 2023

Wanita Myanmar Ditahan Cuba Dapatkan Suntikan Vaksin Guna Identiti Orang Lain

1 min read

 

Seorang wanita warganegara Myanmar ditangkap ketika hadir mendapatkan suntikan dos ke-2 vaksin COVID-19 di sebuah klinik di Melaka Tengah, Melaka pada 18 Ogos lepas kerana dicurigai menggunakan identiti orang lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang selepas didapati menggunakan pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera yang didaftarkan milik seorang pekerja lelaki dari sebuah syarikat percetakan di Cheng.

“Kejadian itu disedari mangsa yang juga seorang warga asing berusia 30-an yang memeriksa maklumat penerimaan vaksin dalam aplikasi tersebut, sudah dikemas kini dan tercatat sudah mengambil dos pertama.

“Lelaki itu mengadu hal tersebut kepada majikannya sebelum majikan berkenaan membuat laporan polis yang mendakwa identiti pekerjanya sudah digunakan pihak ketiga untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sundr Rajan berkata, pihaknya sudah merampas satu kad vaksin atas nama suspek, i-kad bertulis Malaysia Immigration Regulations 1963 Visit Pass yang dipercayai palsu, satu salinan kad pasport yang sudah tamat tempoh dan telefon bimbit suspek.

Menurutnya, siasatan mendapati klinik swasta terbabit sudah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, suspek berkenaan direman selama 17 hari bermula 19 Ogos hingga 4 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran dan menggunakan identiti individu lain bagi pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah,” menurut beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *