September 24, 2023

Program Suntikan Vaksin Untuk Orang Dewasa Di PPV DI Lembah Klang Dihentikan Pada 15 September

2 min read

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (kanan) ketika bersama dalam sidang media CITF sempena Majlis Serah Terima Tugas di Putrajaya hari ini.

 

Program pemberian suntikan vaksin kepada orang dewasa berusia 18 tahun ke atas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lembah Klang akan dihentikan pada 15 September nanti.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, mereka daripada golongan berkenaan yang masih belum disuntikan vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Kesihatan berdekatan bermula keesokaannya dan tidak perlu untuk pergi ke PPV.

“Perincian mengenai senarai klinik kesihatan berkenaan akan diumumkan kelak,” katanya dalam sidang media Jawatankuasa Khas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) di Putrajaya hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa peratus penerimaan vaksin di Lembah Klang yang sudah menunjukkan penurunan adalah disebabkan sudah ramai warga di Lembah Klang menerima suntikan vaksin COVID-19 mereka berbanding mereka yang masih belum.

“Penurunan kadar pemberian vaksinasi harian adalah satu petanda baik,” kata Dr Adham.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bukan hanya berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tetapi dalam bidang lain juga.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerjasama di antara kedua-dua kementerian berkenaan adalah sangat rapat dan penting serta ia tidak hanya tamat pada akhir program PICK atau kerjasama berkaitan Jawatan Khas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF).

“Perdana Menteri telah memberikan tugasan yang berat untuk menghasilkan vaksin dan ini adalah sangat penting untuk kita memastikan bahawa jika ada keperluan untuk tahun-tahun mendatang kita tak perlu lagi berunding dan beli daripada luar negara.

“Jadi KKM akan bekerjasama dengan MOSTI, dan memberi sokongan kepada MOSTI untuk kita dapat menghasilkan vaksin,” kata beliau.

Dalam pelantikan kabinet baru-baru ini, Khairy dan Dr Adham hanya bertukar portfolio sahaja sesama mereka. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *