September 27, 2023

SOP Persekolahan Bulan Depan Akan Dibincang Antara KKM Dan KPM Dalam Satu Mesyuarat

1 min read

 

Keputusan tentang butiran berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan pada sesi persekolahan yang akan bermula 3 Oktober ini akan dibincangkan dalam satu mesyuarat penyelarasan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) esok.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebaik keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat itu, ia akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan seterusnya.

“Saya ada mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan serta Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Radzi Jidin) bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan.

“Apa pun kita akan buat keputusan muktamad selepas mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program outreach suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk di Pulau Larapan di Sabah, semalam.

Beliau berkata selain suntikan vaksin kepada pelajar sekolah, terdapat cadangan lain berkenaan pendidikan dan kesihatan ketika menghadapi cabaran COVID-19 yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu, bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut.

Ketika ini, sedang hangat di media sosial luahan hati keluarga yang bimbang mungkin anak mereka akan dijangkiti COVID-19 jika sekolah dibuka ekoran pelajar masih belum divaksin dan guru juga ada yang menolak untuk disuntik vaksin COVID-19.

Beberapa badan bukan kerajaan NGO juga menyuarakan pandangan mereka supaya sesi persekolahan yang dijadualkan bulan depan ditangguhkan lagi kerana statistik jangkitan kes harian masih tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *