September 27, 2023

Ini Kisah Amir Adam Daud, Sanggup Tunggang Motor 50km Cari Duit Untuk Sambung Belajar

2 min read

Amir Adam Daud, 18 tahun, menunjukkan surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Politeknik Sultan Zainal Abidin kepada ibunya, Rohimah Sulaiman. - FOTO MILIK NSTP/SYAHERAH MUSTAFA

 

Jika ini terjadi kepada anda, anda sanggup untuk melakukan perkara seperti ini demi untuk belajar?

Seorang remaja lelaki bertekad teruskan pengajian dengan keadaan kehidupan serba kekurangan dengan sanggup menunggang motosikal lama sejauh 50km setiap hari untuk berulang alik dari rumah ke tempat dia bekerja.

Menurut laporan eksklusif Berita Harian Online, Amir Adam Daud, 18 tahun, sebelum ini mengambil upah berniaga air sebelum terpaksa berhenti akibat pandemik COVID-19.

Kemudian, dia sedar hanya ilmu mampu mengubah kehidupannya sekeluarga menjadi lebih baik.

Dia nekad ulang alik dari rumah di Kampung Bukit Mak Lipah di Melor ke Wakaf Che Yeh di Kelantan untuk kumpul wang untuk meneruskan pelajaran ke universiti.

Amir menerima tawaran melanjutkan pengajian peringkat Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) di Politeknik Sultan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu bermula 20 September ini.

Remaja ini mengakui tidak kisah berpanas dan berhujan menunggang motosikal lama hampir setiap hari untuk mencari rezeki di samping membantu ibu, Rohimah Sulaiman, 56, yang menghidap diabetes.

“Bagaimanapun, saya kini buntu tidak dapat bekerja kerana COVID-19, tetapi akan terus nekad untuk sambung belajar. Saya juga percaya rezeki datang dalam pelbagai cara, buktinya saya dikurniakan saudara mara yang sangat baik, malah ada yang memberi bantuan komputer riba sebagai persiapan ke politeknik.

“Alhamdulillah, saya turut dibantu apabila ada yang menyelesaikan bayaran yuran kemasukan ke politeknik,” katanya.

Amir merupakan seorang anak tunggal ini yang baru kehilangan bapa, Daud Yaacob, akibat sakit jantung dan angin ahmar.

Katanya, hanya ibu tempatnya menumpang kasih, tetapi wanita itu juga diuji dengan komplikasi kencing manis yang menyebabkan penglihatannya semakin kabur.

“Kami tiada punca pendapatan, hanya harap ihsan jiran tetangga dan saudara mara yang menghulurkan bantuan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Dua beranak berkenaan dikunjungi wakil Yayasan Raja Shamri (YRS), Muhammad Najwan Nasir, yang menyampaikan sumbangan makanan dan kewangan selain berjanji membantu Adam dalam pengajiannya.

Amir berkata, segala ujian itu tidak menghalangnya untuk terus bersemangat mengejar ilmu kerana tujuannya adalah untuk membahagiakan ibu serta memperoleh kehidupan lebih baik.

“Sejujurnya, saya sendiri khuatir memikirkan ibu jika selepas ini saya perlu ke politeknik kerana dia tidak dapat melihat dengan jelas, namun saya percaya Allah akan bantu. Sekarang saya ikut sahaja perjalanan hidup ini, sambil berdoa agar segalanya dipermudahkan.

“Pernah kami dua beranak hanya makan nasi dengan telur selama beberapa hari, menyebabkan saya nekad mengambil upah berniaga air selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memastikan ibu dapat makan dengan baik, tetapi apakan daya kita diuji dengan wabak COVID-19,” katanya.

Jelasnya, jika keadaan mengizinkan, dia mahu bekerja sambilan sambil belajar, tetapi berjanji tidak sesekali melupakan pelajaran yang menjadi satu-satunya harapan untuk mengubah kehidupan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *