Menteri Russia Maut Ketika Cuba Selamatkan Nyawa Pengarah Filem
2 min read
Seorang Menteri di Russia maut ketika cuba menyelamatkan seorang pengarah filem yang tergelincir dari cerun dalam satu sesi latihan di Kutub Utara.
Menteri Kecemasan Russia, Yevgeny Zinichev, 55 tahun, yang pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan Presiden Russia, Vladimir Putin, adalah anggota Kabinet Russia yang pertama meninggal dunia ketika bertugas.
Pemimpin dan pegawai kerajaan menyifatkan Zinichev sebagai penjawat awam yang setia dan terkorban sebagai seorang ‘hero’ manakala duta besar Britain di Russia turut mengucapkan takziah.
Menurut kenyataan Kementerian Kecemasan Russia, Zinichev terbunuh akibat kecederaan dialami ketika berusaha menyelamatkan pengarah filem, Alexander Melnik, 63, dalam tragedi berhampiran bandar Norilsk.
Melnik dilaporkan sudah beberapa kali menghasilkan filem yang mana penggambaran dilakukan di Artik .
Ketua Penyunting, Margarita Simonyan, dalam temuramah di saluran berita kerajaan RT, mengesahkan Zinichev dan pengarah filem, Melnik, meninggal dunia dalam satu sesi latihan di Kutub Utara.
“Melnik dan jurukamera berdiri di tepi tebing ketika kejadian. Jurukamera tergelincir dan jatuh… secara tiba-tiba Zinichev melompat ke dalam air cuba menyelamatkan mangsa tetapi beliau terhantuk pada sebuah batu besar,” katanya.
Wakil Zinichev, Andrei Gurovich, memberitahu dalam siaran di televisyen: “Tanpa berfikir sesaat pun, Zinichev tidak bertindak seperti seorang menteri, tetapi sebagai penyelamat dan itulah cara beliau sepanjang kehidupannya”.
Putin, dalam ucapan yang takziah kepada keluarga Zinichev, menyatakan beliau terkejut dengan berita tragik mengakibatkan kematian menteri Kabinetnya.
Sebagai ketua Kementerian Kecemasan, dia memegang amanah besar membabitkan tugas berprofil tinggi, menangani bencana alam dan tragedi buatan manusia serta berdepan keadaan memerlukan tindak balas cepat di seluruh negara.
Zinichev dikatakan menyertai latihan menghadapi bencana alam selama dua hari di beberapa bandar Artik termasuk Norilsk, mulai Selasa lalu membabitkan lebih dari 6,000 peserta.