COVID19 : RM941.43 Juta Sudah Disalurkan Sebagai Elaun Khas Barisan Hadapan
2 min read
Petugas barisan hadapan sedang melakukan ujian saringan kepada orang ramai.
Kerajaan sudah pun menyalurkan dana sebanyak RM941.43 juta untuk diberikan sebagai elaun khas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam pengurusan dan pengawalan wabak COVID-19.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan jumlah itu adalah sehingga 27 Ogos lepas berdasarkan kepada 2,580,713 tuntutan.
“Selain doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain, elaun ini turut dipanjangkan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) Ke-67, semalam.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan (MOF) baru-baru ini menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) sebagai satu usaha untuk menambahbaik ketelusan dan keterangkuman di dalam proses penyediaan belanjawan tahunan dan juga sebagai pelengkap kepada Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang diterbitkan pada 31 Ogos lalu.
Beliau berkata, empat bentuk KKA yang berbeza akan diterbitkan bagi mendapatkan maklum balas serta input kepada perancangan Belanjawan 2022.
Ia, katanya merangkumi penambahbaikan dasar perolehan kerajaan berkaitan barangan atau perkhidmatan tempatan dan Bumiputera yang akan menggariskan perlindungan dan pembangunan industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.
“Selain itu KKA akan menerbitkan penambahbaikan Program Bantuan Tunai kepada rakyat, terutama dalam situasi yang mencabar akibat penularan COVID-19 serta Kajian Insentif Cukai, bagi memastikan insentif cukai kepada pelabur kekal relevan dengan landskap semasa perniagaan, meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan berkualiti, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan penambahbaikan kedudukan fiskal negara,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, KKA keempat adalah penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bagi meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara, termasuk pengurusan hasil, perbelanjaan, hutang, risiko fiskal, serta pelaporan tertentu dalam bentuk pra-bajet dan pasca bajet, unjuran kedudukan ekonomi dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.
“Penerbitan KKA buat pertama kali dalam sejarah pembentangan belanjawan negara ini bertujuan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan sebuah belanjawan yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar dan objektif negara.