Pemandu Lori Video Tular Rempuh Lima Kenderaan Mengaku Tak Bersalah
1 min read
Kereta Perodua Myvi remuk teruk selepas dirempuh oleh lori yang dipandu. - FOTO FACEBOOK DASHCAM MALAYSIA
Pemandu lori yang videonya tular di media sosial kerana lori dipandunya itu merempuh lima kenderaan termasuk sebuah kereta Perodua Myvi hingga remuk di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur Isnin lepas mengaku tidak bersalah ketika dituduh di mahkamah.
Pertuduhan ke atasnya ialah memandu di bawah pengaruh dadah. Dia didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Ardi Latif, 25 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.
Mengikut pertuduhan, Ardi didakwa sebagai pemandu lori telah memandu di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine dan amphetamine yang mana tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut.
Ia menyebabkan kecederaan kepada pemandu kereta milik Nik Adlee Saha Nik Ahmad Fauzi, 45 tahun, di Jalan Segambut Utara ke Jalan Ipoh pada pukul 2.40 petang, 6 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu lesen memandu tertuduh ditahan sehingga pelupusan kes.
Pada Isnin lalu, media melaporkan lima kenderaan terlibat dalam kemalangan selepas sebuah lori hilang kawalan di lampu isyarat di Jalan Ipoh Sentul yang menyebabkan kesemua kenderaan mengalami kerosakan termasuk sebuah kereta Perodua Myvi remuk dengan teruk.