December 9, 2023

DJ Bersuara Lembut Dan Romantik, DJ Lin Menang Anugerah Majalah Reader’s Digest

2 min read

DJ Lin nama betulnya Roslinda Abdul Majid yang merupakan Penyampai dan Pengurus Besar stesen radio Suria FM - FOTO MILIK FACEBOOK DJ LIN (SURIA FM)

 

Penyampai radio dari Suria FM, DJ Lin yang popular dengan segmen ucapan-ucapan cinta pada malam hari telah dipilih untuk Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2021 bagi kategori Penyampai Radio Paling Dipercayai.

DJ Lin atau nama betulnya Roslinda Abdul Majid dipilih berdasarkan undian lebih 8,000 orang yang dipilih dari Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Taiwan. Anugerah berkenaan adalah anjuran majalah antarabangsa terkenal, Reader’s Digest.

DJ Lin yang kini juga sebagai Pengurus Besar Stesen Suria FM berkata, dia terkejut apabila menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Jujurnya, bagaikan bermimpi menerima anugerah sebesar ini. Ia diibaratkan durian runtuh buat saya, tahun ini.

“Ini adalah usaha saya memberikan fokus kepada kerjaya sebagai penyampai radio. Setiap anugerah diterima sangat besar maknanya dalam perjalanan kerjaya seni.

“Ia juga satu penghormatan, sekali gus menyuntik inspirasi untuk lebih tekun dan fokus membawa nama stesen radio Suria FM ke tahap lebih tinggi,” katanya menurut laporan eksklusif portal BH Online.

Lebih bermakna, penyampai radio yang popular menerusi slot Suria Cinta di Suria FM itu berkata, kemenangannya diundi oleh pengguna Malaysia yang dipilih, justeru ia bukan calang-calang pengiktirafan.

“Pengiktirafan diberikan ini membuktikan bahawa nama DJ Lin semakin dipercayai dan kukuh sebagai jenama yang mampu bertahan dalam cabaran masa kini.

“Saya tidak menyangka ramai menghargai sumbangan saya kepada Suria FM. Jadi, saya sangat bersyukur dan anggap ini sebagai satu anugerah terindah daripada Allah untuk 2021.

“Terima kasih diucapkan kepada penganjur, Reader’s Digest dan rakyat Malaysia yang mengundi serta menyokong DJ Lin selama ini,” katanya.

Kredibiliti dan populariti DJ Lin selama 22 tahun dalam industri penyiaran radio di Malaysia turut diiktiraf menerusi beberapa anugerah besar.

Ibu kepada dua cahaya mata itu pernah tiga kali diangkat Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2016, 2019 dan 2020; Rancangan Interaktif Radio Terbaik, Anugerah Sri Angkasa (ASA) pada 2005;

Penyampai Radio Wanita Terbaik, ASA 2010; Rancangan Interaktif Radio Terbaik ASA 2010 dan Anugerah Kesatria Puteri (Industri Radio) Himpunan Wanita Muda Negara 2012.

Manakala, Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai adalah trofi kelapan buatnya.

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands Ke-23 mengiktiraf jenama dipercayai berdasarkan undian oleh lebih 8,000 individu yang dipilih daripada lima negara.

Lebih 100 jenama tempatan terpilih memenangi lebih daripada 50 kategori yang mewakili pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, produk penjagaan diri, pengendali khidmat penjagaan kesihatan, peralatan elektronik rumah, institusi kewangan, pemaju hartanah dan banyak lagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *