September 28, 2023

Pemain JDT Boleh Didenda RM40,000 Jika Salah Guna Media Sosial

1 min read

 

Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sentiasa mengutamakan komitmen disiplin yang tinggi dari para pemainnya dan ia adalah kunci pasukan Harimau Selatan itu terus cipta kejayaan khususnya dengan terus memenangi kejuaraan Liga Super di Malaysia.

Pemilik Pasukan JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata mereka memiliki polisi dan undang-undang tersendiri bagi memastikan disiplin dan etika kerja pemain mereka sentiasa terjaga.

Tunku Ismail menjelaskan, pemain dan jurulatih mereka akan didenda sekiranya didapati melakukan ‘kesalahan’ yang melanggar polisi kelab termasuklah lewat menghadiri sesi latihan ataupun menyalahgunakan media sosial.

“Kalau pemain salah guna media sosial, denda RM40,000 dan itu ada dalam kontrak pemain. Sebab kita ada etika kerja. Kalau lewat ke sesi latihan, denda RM15,000, tiada main-main dalam JDT. Akhyar Rashid pernah lewat sekali pun kena denda juga.

“Isteri salahguna dan tidak kawal media sosial yang boleh mencemarkan nama kelab, pemain akan kena denda. Kalau jurulatih lewat pun, pengurus akan denda kerana jurulatih kena ada dua jam sebelum latihan.

“Kalau gaji tak cukup, (pemain) berhutang,” kata Tunku Ismail ketika muncul dalam rancangan Bola@Mamak, semalam.

Sebagai rekod, pembayaran denda kepada pemain bukanlah perkara yang asing memandangkan kelab terkemuka dunia turut mengambil pendekatan yang sama.

Sebagai contoh, Chelsea di bawah kendalian Frank Lampard sebelum ini pernah mengenakan denda sebanyak RM116,000 kepada pemain mereka yang lewat untuk menghadiri sesi latihan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *