PM Kata Langkah Kurung Rakyat Tidak Lagi Sesuai Pada Masa Sekarang
2 min read
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan langkah kerajaan untuk terus mengurung rakyat tidak lagi sesuai dengan usaha negara untuk bebas dari pandemik COVID-19 pada masa sekarang.
Beliau berkata, langkah itu dibimbangi akan mendatangkan banyak kesan kepada rakyat dan untuk tujuan itu kerajaan kini melihat keutamaan untuk buka sektor ekonomi secara berperingkat.
“Rakyat mesti berdisiplin untuk membuat kawalan kendiri untuk jaga disiplin. Hari pertama apabila ada tempat percutian dibuka, ada yang masih tidak pakai pelitup muka pun.
“Masa depan negara kita untuk bebas daripada COVID-19 bergantung pada kita sendiri. Kita tidak boleh harapkan orang lain, kawalan kendiri sangat penting, kalau tidak usaha kita selama ini akan jadi sia-sia saja,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Perlimen Jempol Datuk Mohd Salim Sharif (BN) pada sesi jawab lisan ketika sidag Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Ketika menjawab soalan asal Mohd Salim, Ismail Sabri berkata, data pemberian terkini vaksin menunjukkan seramai 74.7 peratus rakyat dewasa di negara ini sudah menerima dua dos vaksin manakala satu dos penerima adalah seramai 91.6 peratus.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH), beliau berkata, keputusan kerajaan untuk membuka semula 11 sektor ekonomi dibuat berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) disamping pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di setiap premis perniagaan yang dibenarkan dibuka.
“Kita bersandarkan kepada 11 aktiviti yang dibenarkan dan kita berdasarkan sains dan data, menunjukkan dari segi kluster yang diwujudkan dari 11 sektor ekonomi ini, ramai mengatakan gunting rambut bahaya.. ramai kontak rapat, tapi sepanjang 2020 hanya satu melibatkan kluster gunting rambut.
“Begitu juga salon, tidak ada kes (kluster) salon. Kedai cuci kereta juga, kononnya ramai pekerja Bangladesh tentu jangkitan lebih mudah, tapi sepanjang 2020, tidak ada kes membabitkan kedai cuci kereta,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga menjelaskan pelantikan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah bersandarkan tugasnya yang terdahulu dan kerajaan memberi kepercayaan untuk beliau meneruskan tugasnya. – SEPATAH DUA