Orang Ramai Yang Terkesan Akibat COVID-19 Boleh Mohon Untuk Sewa Inisiatif Rumah Ikram KPKT
1 min read
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini memperkenalkan satu inisiatif baharu iaitu Rumah Ikram KPKT yang merupakan usaha Kediaman Rumah Keluarga Malaysia khusus kepada rakyat Malaysia yang menerima kesan akibat pandemik COVID-19.
Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan inisiatif itu di laman Facebooknya pada 15 September lepas.
Menurut belia, pihak KPKT tahu ada rakyat yang kekurangan dan kehilangan pendapatan selepas hilang pekerjaan sehingga tidak mampu membayar sewa yang tinggi akibat pandemik ini.
“Ada di kalangan mereka dihalau keluar dari rumah sewa tau terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Inisiatif ini akan menawarkan sewaan kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sehingga dua tahun pada kadar yang paling minimum iaitu RM124 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Johor pada peringkat permulaan ini.
Katanya, usaha itu akan turut diperluaskan ke negeri lain tidak lama lagi.
Reezal Merican berkata orang ramai boleh menghantar permohonan untuk mendapatkan Rumah Ikram KPKT di portal TEDUH KPKT melalui pautan https://teduh.kpkt.gov.my/scheme/rumah-ikram-kpkt bermula tarikh sama iaitu 15 September 2021.
“Jangan risau, kita mudahkan syarat-syarat permohonan Rumah Ikram KPKT ini dan boleh diperolehi di portal TEDUH tersebut.
“Apa yang penting, keluarga Malaysia ada ease of mind, soal perumahan dan tempat berteduh, kita bantu sebaiknya,” kata beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam semangat kekeluargaan, susah senang semua pihak harus mengharunginya bersama.
“Kalau ada saudara atau ahli keluarga yang memerlukan, terkesan akibat COVID-19, pelawa mereka untuk memohon Rumah Ikram KPKT ini,” katanya. – SEPATAH DUA