Hanya Melancong Ke Langkawi Sahaja, Jangan Melencong Ke Tempat Lain
2 min read
Pelancong ke Langkawi tiba di dengan pesawat ke pulau itu ketika pulau percutian berkenaan kembali dibuka melalui program rintis gelembung pelancongan Langkawi pada 16 September lepas. FOTO REUTERS/Lim Huey Teng
Bagi pelancong yang mahu menikmati kemudahan mengembara di bawah program gelembung pelancongan menerusi Projek Rintis Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah yang akan dibuka pada hari Khamis ini tidak dibenarkan melancong ke tempat lain.
Dalam istilah lain, hanya melancong ke Langkawi, jangan melencong ke lain.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata berikutan itu semua pelancong dari luar Kedah dan Perlis perlu membawa surat kebenaran polis untuk tujuan pemeriksaan kerana mereka perlu merentas negeri.
Katanya, mereka perlu menunjukkan surat kebenaran itu walaupun mempunyai bukti tempahan tiket feri dan hotel ke pulau peranginan berkenaan.
“Ia bagi memastikan tiada yang cuba mengambil kesempatan dengan melencong ke negeri lain terlebih dulu, sebelum ke Langkawi.
“Pihak polis akan melihat surat kebenaran (polis) berdasarkan maklumat individu itu untuk memastikan tiada yang melencong dulu, sebelum datang ke sini,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di Alor Setar, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, orang ramai juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan menjaga jarak fizikal, memakai pelitup muka dan menerima dos lengkap vaksin.
Selain itu, katanya, ujian pengesanan COVID-19 sama ada melalui RT-PCR, RTK-Antigen dan ujian kendiri saliva akan dilakukan sama seperti di Terminal Feri Kuala Perlis sebelum dibenarkan menaiki feri untuk memastikan tiada penumpang yang dikesan positif virus terbabit.
“Kita akan menempatkan pegawai dan anggota polis dengan dibantu beberapa agensi lain di kawasan Kuala Kedah supaya orang ramai mematuhi SOP, selain mengelak kesesakan di kawasan itu.
“Perancangan awal sudah diatur bagi mengelak berlaku kesesakan di Kuala Kedah pada hari itu kerana kita menjangkakan lebih ramai pelancong akan menggunakan laluan darat untuk menaiki feri di Terminal Feri Kuala Kedah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah berbincang dengan pengusaha tempat letak kereta persendirian di Kuala Kedah untuk memberi kemudahan terbaik kepada pelancong yang datang.
“Ini kerana, kawasan Kuala Kedah adalah terhad dan dibimbangi akan berlaku kesesakan jika tidak dikawal rapi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya datang awal sekurang-kurangnya dua jam sebelum feri berlepas untuk memudahkan proses yang dibuat untuk ke Langkawi,” katanya.