Siapa Anda Yang Follow Treler Rapat Sangat Tu? Polis Sedang Cari Anda
2 min read
RAPAT DAN BAHAYA... Video yang tular menunjukkan seorang penunggang basikal berkayuh rapat di belakang sebuah treler yang sedang bergerak di Kuantan, Pahang.
Pada masa sekarang, aktiviti berbasikal sebagai riadah begitu meluas pengaruhnya. Di mana sahaja tempat di Malaysia ada orang yang berbasikal dengan bermacam-macam jenis basikal dan harga.
Kebiasaanya, mereka yang gemar berbasikal ini memilih untuk berkayuh pada waktu malam secara berkumpulan. Ada kumpulan kecil dan berkumpulan yang ramai. Tidak kurang juga yang berani lakukan aksi berbahaya yang boleh membahayakan nyawa mereka sendiri.
Di Kuantan, Pahang pihak polis meminta kerjasama orang ramai untuk mencari penunggang basikal yang berkayuh dengan mengekori rapat sebuah treler besar di Jalan Kuantan-Gambang. Video penunggang itu melakukan aksi itu tular di media sosial baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, aksi berkenaan membahayakan nyawa dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai penunggang terbabit.
Menurutnya, keselamatan diri ketika menunggang basikal perlu diutamakan bagi mengelakkan kemalangan dan kejadian tidak diingini berlaku.
“Bagaimanapun, masih ada individu didapati melakukan kesalahan itu seperti video yang tular di media sosial, baru-baru ini.
“Penunggang basikal dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya dan tidak melakukan aksi berbahaya bagi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
“Berdasarkan video terbabit, penunggang itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya pada sidang media di Balai Polis Trafik Kuantan, semalam.
Menurutnya, ketika ini aktiviti berbasikal dibenarkan pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun tindakan segelintir penunggang basikal melakukan kesalahan jalan raya tidak sepatutnya berlaku.
Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan aksi berbahaya seorang penunggang basikal yang mengikuti rapat di belakang sebuah treler di Jalan Kuantan-Gambang, di sini.
Video berdurasi dua minit 34 saat itu dikatakan dirakam oleh seorang pemandu lori pada 17 September lalu.