Menteri KPKT Sambut Baik Cadangan Datuk Seri Najib Gesa Restoran Buka Meja Di Luar
2 min read
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyambut baik dan bersetuju dengan cadangan bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat cadangan supaya restoran dibenarkan buka meja di luar restoran untuk kurangkan risiko wabak COVID-19 tersebar.
Cadangan itu dibuat di laman Facebook beliau, semalam memberikan pendapat perlunya kelonggaran diberikan kepada pemilik restoran untuk menyediakan tempat makan di luar premis.
“Langkah ini sebenarnya mengurangkan risiko dijangkiti kerana adanya pengudaraan lebih baik berbanding tempat duduk dalam premis apatah lagi yang tertutup,” kata Datuk Seri Najib.
Reezal Merican di laman Facebook beliau pula menerima dengan baik cadangan berkenaan serta menyatakan ia juga merupakan satu daripada pelan pelaksanaan yang sedang disediakan dan diteliti oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai persediaan ke arah fasa endemik di Malaysia.
“Pastinya setiap saranan yang baik sentiasa diambil perhatian dan KPKT kini sedang menyediakan garis panduan untuk dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk penilaian sebelum diumumkan.
“Garis panduan lengkap ini kemudian akan dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan agar ada keseragaman,” katanya.
Beliau berkata keseragaman penting untuk manfaat rakyat untuk memudahkan pengusaha premis yang mungkin memiliki cawangan di beberapa negeri dan memudahkan operasi perniagaan mereka.
Datuk Seri Reezal Merican memaklumkan pihak KPKT juga akan berbincang serta mendapatkan panduan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Kementerian Sumber Manusia bagi mengeluarkan garis panduan yang jelas mengenai sistem pengudaraan dalam premis terutama restoran berhawa dingin dan tidak memiliki ruang luar atau pavement seating.
“Sementara itu, saya harap kita semua sentiasa mematuhi dan mengamalkan SOP yang dikeluarkan kerana kerjasama kita semua akan dapat membawa kejayaan dalam memerangi pandemik ini,” katanya. – SEPATAH DUA