Indonesia Larang Selfie Tanpa Pelitup Muka Tapi Ada Yang Masih Degil
2 min read
Pelancong tempatan berjalan di depan lokasi Rumah Gadang di kawasan Taman Mini Indonesia Indah, Jakarta.
Orang yang melancong di Indonesia dilarang mengambil gambar swafoto dengan membuka pelitup muka bagi mengelakkan tercetus risiko jangkitan COVID-19.
Bagaimanapun, larangan itu tidak diambil kisah oleh segelintir pelancong yang masih menangkap gambar tanpa memakainya.
Menurut laporan di portal www.liputan6.com kini sedang dijalankan fasa percubaan di negara itu untuk membuka semula 20 lokasi tarikan pelancong dalam tempoh Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM).
Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif (Menparekraf), Sandiaga Uno berkata percubaan itu yang dilakukan ketika tahap 3 dan 2 PPKM minggu lepas menunjukkan hasil yang positif tetapi ada kelemahan tentang prosedur operasi standard (SOP) yang tidak dipatuhi.
Menurutnya, dalam tempoh percubaan berkenaan di Jakarta, kerajaan membenarkan dua lokasi pelancongan untuk dibuka iaitu Taman Mini Indonesia Indah dan kawasan pelancongan Ancol.
“Ketika mengambil gambar, pelancong gemar untuk membuka pelitup muka walaupun kami sudah tetapkan tidak boleh,” katanya.
Dia juga memohon agar agar semua pelancong lebih berdisiplin dan memakai pelitup muka walaupun di tempat yang terbuka.
Selain itu, setakat ini tiada peraturan yang tertentu dikenakan kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan kerajaan berpandu kepada budi bicara pihak pengurusan tempat-tempat pelancongan.
“Selagi mereka ditemani oleh ibu bapa yang telah divaksinasi dan mengikut SOP yang telah ditetapkan, kami menyerahkan budi bicara kepada pengurusan tempat pelancongan,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan akan membuka lebih banyak lagi tempat pelancongan.
Dalam pada itu, dia juga menyentuh mengenai kelemahan sistem QR Code yang menyebabkan orang ramai terpaksa beratur dan berhimpit-himpit di antara satu sama lain.
Ketika Indonesia berada pada tahap yang teruk akibat COVID-19 ada juga ahli keluarga yang bertindak merampas keranda dan menguruskan pengebumian sendiri kerana mahu melihat wajah ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia sehingga mencetuskan kluster jangkitan.
Kes melanggar peraturan dan arahan kerajaan kerap didengari di Indonesia. – SEPATAH DUA