March 29, 2024

PM Lancarkan Inisiatif Rumah IKRAM Keluarga Malaysia Bantu Rakyat Terkesan COVID-19 Dapat Rumah Kediaman

2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan secara simbolik surat tawaran kepada penerima inisiatif Rumah IKRAM Keluarga Malaysia yang digerakkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada majlis pelancarannya 24 September lepas yang disiarkan di Facebook.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah selamat melancarkan inisiatif Rumah IKRAM Keluarga Malaysia secara maya pada 24 September yang lepas seterusnya membolehkan rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sehingga hilang tempat tinggal kembali ada rumah untuk didiami.

Inisiatif ini memberikan kemudahan rumah untuk disewa melalui rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) selama sehingga 2 tahun dengan bayaran sewa paling minima iaitu RM124 sebulan di Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Johor.

Majlis bersejarah itu disiarkan secara siaran langsung di Facebook Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri menyampaikan surat tawaran kepada 105 orang penerima manfaat inisiatif itu.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju menambah bilangan unit daripada 1,000 pada permulaan kepada 2,000 unit yang akan membolehkan kira-kira 10,000 isi rumah mendapat manfaat daripadanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada majlis pelancaran Rumah IKRAM Keluarga Malaysia secara maya di Facebook pada 24 September lepas.

Beliau berkata semua penerima inisiatif ini akan turut diberikan pengecualian bayaran sewa sehingga enam bulan bermula dari tarikh menerima kunci bagi mengurangkan tekanan dan bebanan kepada mereka yang menerima kemudahan sewaan itu.

Sempena pelancarannya juga, kerajaan turut mengumumkan program moratorium bayaran sewa kepada penghuni PPR sedia ada di bawah kawal selia dan pengurusan KPKT yang akan diteruskan sehingga akhir tahun depan.

Menteri yang bertanggungjawab menerajui KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di laman Facebooknya juga berkata ia merupakan inisiatif bersifat cushion atau penampan yang diperkenalkan oleh KPKT khusus untuk manfaat rakyat Malaysia yang terkesan akibat COVID-19.

“Ramai yang terkesan seperti kehilangan pendapatan serta kehilangan pekerjaan sehingga tidak lagi mampu membayar sewa yang tinggi, ditamatkan sewaan dan seumpamanya,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika berucap pada majlis pelancaran Rumah IKRAM Keluarga Malaysia pada 24 September lepas.

Rumah IKRAM Keluarga Malaysia akan menjadi teduhan kepada Keluarga Malaysia yang kehilangan tempat tinggal akibat kehilangan pekerjaan dan kekurangan pendapatan.

Ia turut termasuk bagi mereka yang terdesak sehingga menumpang di rumah saudara mara akibat terpaksa keluar dari rumah sewa yang telah ditamatkan oleh tuan empunya. – SEPATAH DUA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *