December 9, 2023

Vaksin COVID-19 tidak ada kaitan agenda Yahudi – Timbalan Menteri

1 min read

 

Tindakan segelintir orang dalam kalangan masyarakat yang buat dakwaan vaksin COVID-19 ada kaitan dengan agenda Yahudi adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kenyataan tersebut adalah tidak berasas dan direka tanpa sebab yang kukuh.

Beliau berkata, orang ramai patut lebih bijak menilai yang mana baik dan buruk kerana vaksinasi adalah jalan terbaik untuk negara Malaysia melawan dan berdepan wabak COVID-19 untuk mencegahnya dari terus menular.

“Kita tengok sendiri lebih 90 peratus kematian sebab Covid-19 adalah melibatkan mereka yang tidak divaksin. Apa yang kerajaan lakukan sekarang ialah untuk menyelamatkan kita semua, berikhtiar membendung pandemik ini.

“Vaksinasi satu-satunya jalan yang kita ada setakat ini, sebab itu saya menyeru semua keluar ambil vaksinasi masing-masing.

“Kita sebagai sebuah keluarga Malaysia yang besar, jangan jadi pembawa kepada wabak ini, putuskan rangkaian ini dengan diri kita sendiri,” katanya kepada pemberita di Pasir Puteh, Kelantan.

Nik Zawawi berkata demikian selepas meninjau Program Vaksinasi barisan hadapan industri Agromakanan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.

Sebelum ini, lebih 27,000 rakyat di negeri ini mengisytiharkan tidak mahu menerima suntikan vaksin Covid-19, sehingga Rabu lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin memaklumkan, daripada jumlah tersebut, lebih 9,000 merupakan individu antivaksin yang benar-benar menolak suntikan tersebut manakala angka selebihnya pula adalah mereka yang menolak vaksin kerana masalah kesihatan serta mempunyai penyakit.

Lebih 9,000 orang yang enggan divaksin itu juga didakwa memberi pelbagai alasan, antaranya mendakwa vaksin adalah agenda Yahudi dan berbahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *