RMK-12: KPKT Sasar Sediakan 500,000 Unit Rumah Untuk Keluarga Malaysia Menjelang 2025
2 min read
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yakin dan komited untuk mengutamakan langkah menyediakan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu milik kepada rakyat yang merupakan Keluarga Malaysia selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lepas.
Menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan media berkata kementerian berkenaan akan memberikan komitmen sepenuhnya berkaitan langkah itu untuk menjayakan matlamat RMK12.
“Rumah yang akan disediakan demi untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia dan KPKT mensasarkan untun menyediakan 500,000 unit Rumah Mampu Milik sehingga akhir tahun 2025,” katanya.
Keutamaan itu merupakan langkah pertama daripada enam bidang keutamaan yang telah digariskan KPKT yang berkaitan dengan kementerian berkenaan dalam RMK12.
Keutamaan seterusnya ialah KPKT komited untuk meningkatkan taraf hidup isi rumah miskin dengan menambah baik infrastruktur dan kemudahan asas, menurut Reezal Merican.
“Tadbir urus bandar akan diperkukuhkan lagi melalui pembangunan Malaysia Urban Obersvatory (MUO) untuk memantau dan menilai usaha serta pelakasanaan ke arah mencapai kemampanan bandar,” katanya.
Beliau berkata dalam aspek penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) KPTK akan mengambil keutamaan mengarus perdana pendigitalan dan menerima pakai teknologi termaju dalam pembangunan bandar selaras dengan Rangka Kerja Bandar Pintar (Smart City Framework).
“KPKT akan mengutamakan pembangunan Bandar Hijau dan Berdaya Tahan bagi menangani perkembangan pesa dan perubahan landskap negara secara keseluruhannya.
“KPKT juga akan mentransformasi pengurusan sisa pepejal ke arah pembangunan ekonomi kitaran,” ujarnya.
Reezal Merican berkata di bawah fokus perumahan harga siling rumah mampu milik akan diperkenalkan di pasaran sekunder sebagai mekanisme kawalan harga rumah khususnya di kawasan bandar.
“Program Rent to Own (RTO) akan diperluaskan merangkumi rumah berharga sehingga RM500,000.
“Dana untuk Rumah Mampu Milik dan Skim Perumahan Belia juga akan disediakan bagi membiayai pembelian rumah pertama,” katanya.
RMK12 dalam peruntukan perbelanjaan pembangunan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM400 bilion bagi tempoh RMK12 iaitu dari 2021 hingga 2025 dan ia merupakan jumlah terbesar pernah diusulkan.
RMK11 sebelum ini merangkumi peruntukan sebanyak RM260 bilion dan setakat ini kira-kira RM248 bilion sudah dibelanjakan. – SEPATAH DUA