Pesara Wanita Di Singapura Dimasukkan Ke Hospital Kerana Makan Ivermectin
2 min read
Wong Lee Tak kini masih berada di hospital di Singapura dan berada dalam keadaan stabil.
Akibat termakan pujukan rakan yang mendakwa Ivermectin boleh melindungi diri dari COVID-19, seorang pesara wanita berumur 65 tahun dikejarkan ke hospital selepas mengambil ubat berkenaan di Singapura.
Wanita berkenaan Wong Lee Tak mengambil empat tablet 3 miligram Ivermectin selama dua hari.
Dia kemudian jatuh sakit pada 1 Oktober yang dipercayai pada hari kedua dia mengambil ubat preskripsi itu.
The Straits Times melaporkan, wanita itu menderita demam panas dengan suhu 39.3 darjah Celsius, radang pada sendi dan muntah teruk selepas makan, kata anak perempuannya Vanessa Koh, 32 tahun.
“Saya tidak dapat menyuruhnya makan apa-apa. Dia sepatutnya memakan oat sebelum makan ubat, tetapi dia muntah semuanya,” kata Vanessa.
Dia membawa ibunya ke Hospital Umum Sengkang pada 1 Oktober, dan kini masih berada di hospital dalam keadaan stabil.
Keluarga itu pada mulanya menyangka Wong mengalami kesan sampingan pada suntikan pertama vaksin Sinopharm yang diambilnya pada 23 September.
Vaneesa berkata, keluarganya memerlukan berbulan-bulan untuk memujuk ibunya untuk mendapatkan vaksin kerana sekelompok teman rapat dari gereja mendesaknya supaya tidak diberi vaksin dengan vaksin mRNA kerana ‘bertentangan dengan Tuhan’.
“Kami mengalami banyak pertengkaran kerana dia tidak ingin divaksin dan memberi tekanan kepada keluarga saya,” katanya.
Katanya, ibunya mempunyai penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi.
“Selepas berbulan-bulan memujuk ibu, akhirnya dia memilih untuk mendapatkan vaksin Sinopharm dari China,” katanya.
Katanya, anaknya yang berusia satu tahun dijaga oleh ibunya pada siang hari.
“Anak saya dapat merasakan ada yang tidak betul dengan ibu saya pada Jumaat ketika dia asyik berbaring di tempat tidur,” katanya.
Menurutnya, ketika menjaga ibunya, dia menemui mesej di telefon ibunya menunjukkan seorang anggota gereja memberi pesanan untuk membeli 1,000 pil Ivermectin dengan harga 110 Dolar Singapura (kira-kira RM338).