Reezal Merican Kecewa Dan Marah Kata-Kata Perkauman Ke Atas Pemain Badminton Negara
2 min read
Pemain badminton perseorangan Malaysia, S Kisona.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang memperlekehkan pemain badminton perseorangan negara baru-baru ini, S Kisona.
Beliau menyifatkan perjuangan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para pemain kebangsaan tidak sepatutnya dibalas dengan kata-kata cacian sebegitu rupa.
“Saya cukup tersinggung membaca komen yang tidak sepatutnya diungkap terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara
“Marah, memang saya marah. Kecewa, memang saya kecewa. Bukan kecil perjuangan atlet-atlet untuk berada di pentas dunia,” katanya dalam satu penulisan status di Facebook beliau Reezal Merican Naina Merican.
Reezal Merican yang kini menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata para atlet Malaysia membawa nama negara dan ia adalah lumrah pertandingan jika mereka kalah atau menang.
Katanya, sokongan rakyat dan orang ramai jangan bersifat bermusim dan hanya memberi pujian apabila merangkul pingat tetapi mengeji apabila kecundang.
“Di antara kita sebagai Keluarga Malaysia, tidak ada ruang untuk diberikan kritikan bersifat tidak sensitif dan diskriminasi tambahan lagi dalam bidang sukan yang biasanya menyatukan semua rakyat Malaysia,” kata beliau.
Baru-baru ini Bekas Naib Ketua Parti Bersatu Pasir Putih, Borhanudin Che Rahim membuat satu komen bersifat perkauman dan diskriminasi di media sosial Facebooknya ke atas Kisona yang menyebabkan beliau dikecam oleh netizen.
Pada 4 Oktober 2021, beliau membuat permohonan maaf kepada rakyat khususnya masyarakat India tentang penulisan yang dibuat itu.
Dia mengakui telah melakukan kesalahan besar dengan membuat kenyataan itu.
“Dengan ini saya menarik balik kenyataan saya dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutama kepada yang terkesan akibat posting tersebut.
“Saya tidak berniat menjatuhkan mana-mana orang dan kaum serta memperbaiki sikap di masa hadapan,” katanya. – SEPATAH DUA