Remaja Dan Kanak-Kanak Ada Risiko Cedera Teruk Bermain Basikal Lajak
2 min read
Ada tak kanak-kanak atau remaja yang anda kenal suka bermain basikal lajak? Anda tahu atau tidak yang bermain basikal lajak bahaya untuk kesihatan.
Basikal lajak, adalah basikal yang telah diubah suai menjadi rendah dan ia dikatakan tidak mempunyai brek. Jika mahu memberhentikan basikal, kena guna brek kaki. Kalau anda pernah ada basikal dulu, pasti juga pernah cuba menggunakan brek kaki.
Memang pada zaman dulu ada rasa teruja bila berhentikan basikal guna brek kaki tapi ia amat berbahaya dan berisiko untuk terlibat dalam kemalangan jika bermain basikal di jalan raya awam dan banyak kereta.
Basikal lajak dalam kalangan remaja dan kanak-kanak diterima sebagai satu kreativiti kerana idea mereka untuk mengubah suai basikal asal menjadi bentuk yang menarik dan unik dengan pelbagai rupa.
Tidak dapat dipastikan awal mula ‘fenomena’ ini, tapi trend basikal lajak sempat menjadi kegilaan segelintir kanak-kanak beberapa tahun lalu.
Basikal lajak ini asalnya basikal biasa yang terdapat di pasaran. Namun ia telah diubah suai supaya didakwa dapat meluncur lebih laju. Maka basikal ini direndahkan tempat duduk, ditanggalkan brek dan dipotong pasak sepit udang (fork) hingga ciri-ciri keselamatan pada basikal pada umumnya tidak lagi ada pada basikal lajak ini.
Kalau dilihat, nampak ciri-ciri pada basikal lajak yang bawa bahaya pada kanak-kanak. Ia adalah kerana postur badan remaja yang menunggangnya tidak ergonomik. Ia boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan.
Kecederaan Otot
Otot di bahagian belakang atau tulang belakang yang menempatkan saraf penting badan boleh cedera kerana postur kerusi yang lebih tinggi dari pemegang di mana penunggang perlu membongkok untuk jangka masa yang agak lama.
Pengawalan basikal yang sedang bergerak juga sukar dengan kedudukan badan seperti itu membuatkan remaja mudah terjatuh jika terbabas.
Kecederaan Lutut
Kalau bawa basikal, lutut tak luka tak sah. Itulah kecederaan biasa kalau bawa basikal dan sebab itu ada pelindung keselamatan untuk melindungi lutut. Kalau basikal lajak, lagi bertambah risiko untuk kecederaan lutut.
Kalau terjatuh, bukan sahaja lutut koyak, mungkin juga ligamen boleh bermasalah dan mungkin akan berlaku kecederaan patah kaki.
Kecederaan Tangan Dan Badan
Ini ialah antara kecederaan yang paling bahaya dan akan bawa kesan amat buruk jangka pendek dan jangka panjang kalau terjadi. Kanak-kanak atau remaja mungkin patah tangan, patah pinggang, luka di badan akan memerlukan masa yang lama untuk sembuh.
Kalau berlaku kecederaan kekal lagi bahaya. Merana seumur hidup nanti apabila tak boleh berjalan dan terpaksa duduk atau bergerak dengan kerusi roda atau memerlukan tongkat untuk berjalan.
Oleh itu, ibu bapa harus peka dan sentiasa mengawasi anak masing-masing. Jangan biarkan anak-anak mengubah suai basikal mereka kepada basikal lajak agar masalah ini boleh dicegah sebelum terlambat.
Nasihat dan teguran mampu untuk menyelamatkan kesan atau kesudahan serius yang akan menjadi sesalan seumur hidup anda. – SEPATAH DUA