Sudah Boleh Rentas Negeri, Bergeraklah Dengan Berhati-Hati, Terus Ikut SOP
2 min read
Hari ini seluruh negara berasa lega dan senang hati selepas kerajaan memutuskan untuk membenarkan semula pergerakan merentas sempadan negeri untuk orang ramai kembali balik kampung atau bercuti di dalam negara bermula hari ini.
Ia selepas lebih setahun rakyat Malaysia dikenakan sekatan perjalanan bertujuan untuk mencegah jangkitan wabak COVID-19 terus menular selepas kesan jangkitan sedang berkurangan selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan untuk memberi suntikan vaksin.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman keputusan membuka kembali pergerakan rentas negeri semalam.
Kebenaran bergerak antara negeri dalam negara juga dibenarkan selepas peratusan lengkap pemberian vaksinasi kepada penduduk dewasa Malaysia sudah mencapai tahap 90% peratus.
Selepas bergelut lebih kurang 2 tahun sejak 2020 berdepan pandemik, Malaysia kembali membuka sektor ekonomi dan sosial secara berhati-hati satu demi satu untuk kembali kepada gaya kehidupan biasa sebelum kedatangan COVID-19.
Sekarang, secara total tanggungjawab menjaga serta memelihara kesihatan kini terletak di bahu rakyat Malaysia sendiri untuk terus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan sejak awal pandemik melanda lagi.
Apabila merentas negeri, kita sama-sama mesti terus amalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan amalkan menjaga kebersihan diri. Langkah ini mesti diberi perhatian kerana walaupun 90% peratus, masih ada jumlah besar orang yang masih belum lengkap suntikan vaksin atau tidak menerima langsung suntikan vaksin COVID-19.
Mereka adalah golongan yang enggan terima suntikan atau golongan yang tidak boleh menerima suntika vaksin atas sebab-sebab kesihatan yang tidak mengizinkan.
Laporan portal Berita Harian Online hari ini melaporkan masih ada 1.2 juta orang individu masih belum divaksinasi, menurut data di portal COVIDNOW iaitu kira-kira 5.2% peratus.
Mengikut statistik, Sabah adalah negeri yang paling rendah dari segi jumlah populasi dewasa yang lengkap divaksin iaitu 65.1 peratus, diikuti Kelantan 73.6% peratus, Kedah 79.5% peratus dan Perak 79.8% peratus.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pernah berkata beliau yakin semua negeri akan mencapai kadar vaksinasi lengkap 80% peratus pada bulan ini, kecuali negeri Sabah.
Oleh itu, kepada anda yang mula merentas negeri hari ini, lakukanlah ujian saringan sendiri menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 yang dijual untuk memastikan anda negatif virus COVID-19 sebelum meneruskan perjalanan untuk bercuti atau balik ke kampung.
Kita jalankan peranan dengan bersungguh-sungguh untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga dari terkena jangkitan COVID-19 seterusnya boleh membawa Malaysia keluar dan pulih dari pandemik COVID-19 ini. – SEPATAH DUA