November 26, 2021

SepatahDua.My

"KITA SAMA-SAMA MENANG LAWAN COVID-19"

Industri Pelancongan Islam Mampu Jana Pendapatan Lebih Tinggi Kepada Negara

2 min read

Gambar di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang merupakan pintu masuk utama ke Malaysia bagi para pelancong.

 

Industri pelancongan Islam boleh jana hasil yang lebih tinggi kepada Malaysia kerana sektor itu lebih luas berbanding industri pelancongan domestik.

Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islamik (ITC), Datuk Dr Mohmed Razip Hasan berkata ini kerana industri pelancongan Islam berkait rapat dengan industri halal dan memberi peluang yang lebih besar kepada negara.

Mohmed Razip berkata, pihaknya dimaklumkan jumlah pasaran industri pelancongan Islam itu mampu mencecah sehingga RM10billion kerana saiz pasarannya agak besar dan meluas.

“Tidak perlu lihat jauh, saya beri contoh industri makanan itu sendiri banyak peluang yang kita nampak. Kalau dulu kita hanya lihat pada restoran sahaja, namun kini pelancong lebih lihat kepada kafe atau bistro.

“Walaupun terletak di tepi jalan contohnya ‘kafe hipster’, cara penyediaannya berbeza.

“Pelancong muslim ini adalah satu kelompok atau komuniti yang jika pergi melancong, mereka melancong dengan keadaan bergaya iaitu dengan pakaian muslimahnya dan banyak kini jenama pakaian yang mula perkenalkan pakaian yang mudah dibawa solat.

“Ada juga yang kita lihat, wanita yang membuat aktiviti ekstrem namun pakaiannya tetap terjaga, kerana kini sudah banyak pakaian sukan yang sesuai dengan wanita. Sebab itu saya kata pasaran bagi industri pelancongan Islam ini adalah luas, berkait antara satu sama lain.

“Jadi ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan oleh masyarakat, terutamanya golongan belia. Mereka seharusnya berkecimpung dengan perniagaan yang berasaskan mesra muslim atau keperluan syariah,” katanya ketika bual bicara bersama stesen radio IkimFM, hari ini.

Mohmed Razip berkata, Malaysia adalah negara ulung dalam industri pelancongan Islam dan sudah mendapat banyak pengiktirafan dari dalam negara dan antarabangsa.

“Di Asean sendiri ada lebih 250 juta penduduk muslim dan kelompok ini besar yang secara tidak langsung memberi gambaran bahawa ia adalah satu potensi besar kepada negara.

“Diharapkan penggiat pelancong dalam negara ini nampak potensi berkenaan dan bersiap sedia dengan kemasukan pelancong muslim kelak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *