Masalah Rumah Tangga Punca Anggota Tentera Mengamuk Dan Bunuh Diri
1 min read
Anggota polis memeriksa tempat kejadian dan barang kes yang terlibat - Gambar ihsan PDRM.
Masalah rumah tangga dikatakan jadi punca seorang anggota tentera mengamuk dan menembak dirinya sendiri dalam satu kejadian di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang di Kuching, Sarawak, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Supritendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah hari, suspek berumur 28 tahun itu datang ke rumah keluarga isterinya untuk berbincang masalah rumah tangga yang berlaku.
Semasa sedang berbincang dengan isterinya, dia tiba-tiba marah dan mengambil senjata api jenis Colt M4 Carbine yang disimpan di dalam keretanya.
“Suspek kemudian terus melepaskan beberapa das tembakan di bahagian ruang tamu dan dapur rumah itu. Ibu mentuanya yang berusia 58 tahun terkena tembakan di bahu kiri,” kata beliau dalam kenyataan.
Abang Zainal Abidin berkata, suspek kemudian berjalan ke bahagian hadapan rumah dan terus menembak diri sendiri di bahagian dagu dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya lagi, difahamkan suspek dari kem tentera di Tondong, Bau dan ketika kejadian dia masih bertugas sebagai anggota pemantauan pematuhan SOP COVID-19 bagi daerah Bau.
“Suspek meminjam kereta kawannya untuk pergi ke rumah keluarga isterinya di Kolong 1 itu dan difahamkam dia dan isterinya dalam proses perceraian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan polis mengesa orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai,” katanya.