September 28, 2023

Jemaah Kini Perlu Mahir Guna Telefon Pintar Ketika Tunaikan Umrah

2 min read

Solat berjemaah di Masjidil Haram di Makkah kini sudah tidak lagi melaksanakan penjarakan fizikal di dalam saf solat.

 

Jika anda berhasrat menunaikan ibadah umrah tidak lama lagi, anda perlu mahir menggunakan telefon pintar supaya pergerakan anda di tanah suci menjadi mudah.

Kepandaian itu mungkin menjadi syarat kepada bakal tetamu Allah untuk pergi ke Makkah.

Selain mengikut ketetapan syarat lain untuk mengerjakan umrah, kemahiran menggunakan peranti berkenaan juga perlu dibuat dengan mereka memahirkan diri menggunakannya.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata hampir setiap pergerakan di Mekah memerlukan penggunaan aplikasi untuk mendaftar masuk di setiap lokasi.

“Kali ini banyak aktiviti di sana memerlukan penggunaan aplikasi; paling tidak pun para jemaah mesti ada peranti telefon pintar sendiri.

“Dari segi penggunaannya, mungkin perlu dirujuk kepada orang yang lebih muda sekiranya tidak tahu menggunakan telefon.

“Ini kerana, contohnya aktiviti tawaf, solat lima waktu di masjid, semua perlu tunjuk permit dan kad vaksinasi pada telefon masing-masing.

“Itu yang perlu kita tahu dan terima dulu sebelum kita membayar (caj umrah) dan meneruskan perjalanan,” katanya menurut laporan di portal Astro Awani.

Selain itu, beliau memberikan peringatan kepada orang ramai supaya memilih ejen pelancongan umrah yang mempunyai lesen dan berdaftar dengan pihak berwajib.

“Memang ada banyak ejen pelancongan, ada ribuan daripada mereka tetapi yang melesenkan umrah tidak terlalu banyak.

“Jadi pilihlah yang ada lesen, kemudian kita perlu tengok kepada penerbangan yang terus, kerana travel bubble (gelembung perjalanan) ini tidak boleh ada penerbangan transit di mana-mana,” ujar beliau lagi.

Bagaimanapun, menasihati orang ramai agar tangguh dahulu ibadah menunaikan umrah jika tidak bersedia dan tidak mahu berdepan dengan syarat penetapan SOP yang ketat kerana ia akan pasti dilonggarkan dalam masa mendatang.

“Kalau kita rasa tidak bersedia atas apa jua sebab, lebih baik kita tunggu dulu sekejap dan tengok keadaan, saya yakin keadaan akan semakin bertambah baik.

“Cuma yang bagusnya pergi awal ini, jemaah tidak ramai lagi, agak lapang sedikit tempat untuk kita bertawaf yang bagusnya orang tidak ramai.

“Tetapi tidak bagusnya mungkin ada peraturan-peraturan ketat yang perlu kita patuhi,” ujar Ahmad Ruzman lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *