September 27, 2023

Perkahwinan Kanak-Kanak Meningkat Di Bangladesh Ketika Pandemik

2 min read

Keadaan bandar Dhaka, Bangladesh yang sibuk setiap hari. Bangladesh juga merupakan antara negara yang paling miskin di dunia.

Pihak berkuasa Bangladesh mengesan ribuan pelajar perempuan gagal hadir ke sekolah sebaik sekolah dibuka, berikutan berkahwin sepanjang pandemik COVID-19 di negara itu.

Asma (bukan nama sebenar), 14 tahun, berasal dari daerah utara Rangpur antara ribuan yang berkahwin minggu lalu dengan seorang lelaki berusia dua kali ganda lebih tua darinya.

Ayahnya, Shirajul Islam, 56 tahun, berkata beliau tidak mempunyai sumber pendapatan bagi menampung keluarga dan terpaksa mengahwinkan dua anaknya sepanjang pandemik COVID-19.

Situasi itu sekali gus membimbangkan pihak pihak berikutan Bangladesh berada di kedudukan keempat tertinggi di dunia membabitkan perkahwinan kanak-kanak.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Bangladesh mencatatkan 38 juta perkahwinan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun termasuk 13 juta berumur bawah 15 tahun walaupun mengikut undang-undang negara itu, perkahwinan sebelum umur 18 tahun bagi perempuan dan 21 tahun bagi lelaki dilarang.

Pegawai Pendidikan Daerah Kurigram, Md Shamsul Alam, berkata 2,925 perkahwinan kanak-kanak dilaporkan di daerahnya ketika perintah sekatan pergerakan COVID-19 dilaksanakan.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,290 adalah pelajar sekolah agama, tetapi bukan hanya kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki juga menjadi mangsa perkahwinan disebabkan oleh kemiskinan dan struktur sosial yang teruk,” katanya kepada agensi berita Anadolu.

Sementara itu, di daerah Bagerhat di barat daya, seramai 3,200 perkahwinan kanak-kanak dilaporkan sepanjang sekolah ditutup.

“Kami tidak dapat menghentikan perkahwinan kanak-kanak secara paksa kerana penjaganya menyembunyikan dan penduduk kampung tidak mahu menjadi saksi untuk mengambil tindakan undang-undang,” menurut Pegawai Pendidikan Daerah itu, Md Kamruzzaman.

Sementara itu, Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak, Md Sayedul Islam, berkata kajian lapangan yang lengkap perlu dilakukan untuk mengetahui keadaan secara terperinci.

Katanya, data yang ada setakat ini menunjukkan pelajar tahap sembilan dan 10 adalah mangsa terburuk dalam perkahwinan bawah umur

“Penutupan sekolah menyebabkan ibu bapa mengikat ikatan perkahwinan anak-anak mereka.

“Kami bekerja keras untuk mengatasi perkara ini dan mempunyai undang-undang dan sistem pemantauan yang ketat di lapangan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *