October 3, 2023

KKM Perluaskan Pelaksanaan Pemberian Dos Penggalak Untuk Memberikan Perlindungan Imuniti Optimum

2 min read

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (kanan) bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) dalam sidang media Menteri Kesihatan di ibu negara, hari ini.

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melihat kepada beberapa indikator awal dalam negara di beberapa negeri seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang kini menunjukkan trend kemasukan ke hospital yang agak membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata trend berkenaan adalah satu perkara yang kini diberikan perhatian oleh KKM untuk terus dipantau dengan lebih teliti profil kemasukan ke hospital di negeri-negeri berkenaan.

“Sudah pasti Kementerian Kesihatan Malaysia mahu kes-kes serius yang dimasukkan ke hospital ini dapat kita kurangkan. Jadi angka yang menunjukkan peningkatan dari segi kemasukan ke hospital ini akan diteliti untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau dalam sidang media Menteri Kesihatan di ibu negara, hari ini.

Dalam sidang media berkenaan, beliau mengumumkan tindakan yang diambil oleh KKM ialah untuk memperluaskan pelaksanaan pemberian dos penggalak (booster).

“Kementerian Kesihatan Malaysia amat menggalakkan supaya individu yang layak untuk mengambil dos penggalak bagi mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Ini supaya tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai terhadap jangkitan COVID-19,” katanya.

Khairy berkata pelaksanaan pemberian dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara pada 13 Oktober dengan menggunakan vaksin Cominarty (Pfizer).

Beliau berkata buat masa ini, suntikan dos penggalak akan dilaksanakan kepada penerima vaksin Cominarty sekurang-kurangnya enam bulan yang lalu dengan keutamaan kepada anggota barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, warga emas dan individu dengan komorbiditi.

“Mengambil kira data kemasukan ke hospital yang meningkat, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memutuskan untuk melanjutkan pemberian dos penggalak kepada individu yang telah lengkap suntikan vaksin Sinovac sekurang-kurangya tiga bulan yang lalu di mana mereka akan diberikan dos penggalak vaksin Cominarty Pfizer,” katanya.

Khairy berkata walaupun pengurangan jumlah kumulatif COVID-19 kes dicatatkan di peringkat kebangsaan pada minggu epidemik (epid) ke-41, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7,8%), Wilayah Persekutuan Putrajaya (3,3%), dan Negeri Sembilan (4,1%) mencatatkan peningkatan jumlah kes berbanding minggu epid ke-40.

Tiga negeri turut melaporkan peningkatan purata kadar insiden bagi tempoh tujuh hari pada minggu epid ke-41 berbanding minggu epid ke-40.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *