March 28, 2023

Pakar Bedah Di Amerika Lakukan Pembedahan Pindahkan Ginjal Babi Kepada Manusia

1 min read

Gambar dari NYU Langone Health menunjukkan pasukan pembedahan melakukan prosedur pemindahan ginjal khinzir kepada seorang pesakit mati otak sebagai satu eksperimen.

Satu pembedahan dilakukan di Amerika Syarikat (AS) dan ia berjaya memindahkan organ ginjal dari babi kepada seorang pesakit yang mati otak untuk tempoh singkat baru-baru ini hanya untuk tujuan eksperimen perubatan.

Pakar bedah yang mengetuai prosedur itu menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai ‘keajaiban berpotensi’.

Pembedahan itu dilakukan pada 25 September lepas melibatkan haiwan babi iaitu penderma diubah suai secara genetik dan seorang manusia pesakit yang sudah mati otak yang bergantung pada alat bantuan pernafasan.

Keluarga pesakit terbabit memberi kebenaran untuk pelaksanaan eksperimen selama dua hari itu, demi membantu kemajuan sains.

“Ia melakukan fungsi yang sepatutnya, iaitu menyingkirkan bahan kumuh dan menghasilkan air kencing,” kata Pengarah Transplant Institute di Universiti New York (NYU) Langone, Robert Montgomery, dalam satu wawancara dengan AFP.

Secara kritikal, organ terbabit dapat mengurangkan paras molekul kreatinin, iaitu antara petunjuk utama kesihatan buah pinggang, yang meningkat dalam diri pesakit sebelum pemindahan berkenaan.

Montgomery melakukan pembedahan selama kira-kira dua jam itu bersama beberapa lagi pakar.

Mereka mencantumkan ginjal itu pada saluran darah di bahagian atas salah satu kaki pesakit terbabit, supaya boleh melakukan pemerhatian dan mengambil sampel biopsi.

Montgomery berkata, pesakit itu mahu menjadi penderma organ dan keluarganya kecewa apabila diberitahu bahawa organ beliau tidak bersesuaian.

“Namun, mereka berasa lega dengan adanya peluang lain untuk menderma seperti ini,” katanya.

Alat bantuan pernafasan pada pesakit itu kemudian ditanggalkan dan beliau meninggal dunia selepas 54 jam eksperimen berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *