November 26, 2021

SepatahDua.My

"KITA SAMA-SAMA MENANG LAWAN COVID-19"

Kerajaan Rancang Tubuh Unit Khas Basmi Kemiskinan

2 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu unit khas untuk membasmi kemiskinan sebagai satu daripada langkah untuk membantu kumpulan rakyat yang miskin dan miskin tegar.

Perkara itu diberitahu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya cadangan itu diluluskan, beberapa pegawai di peringkat pusat akan ditugaskan semula untuk penubuhan unit tersebut.

Tambahnya lagi, beliau juga mengharapkan apabila unit itu direalisasikan, Kerajaan Negeri serta Daerah dapat melakukan perkara yang sama, supaya agenda membasmi kemiskinan itu dapat dilakukan dengan lebih holistik.

“Antara cadangan (yang diterima) supaya kita memberi perhatian lebih kepada miskin tegar. Di Pusat, kita akan melalui penugasan semula pegawai, dan akan menubuhkan sebuah unit (membasmi) kemiskinan di peringkat pusat.

“Kita berharap negeri dan daerah dapat mengambil tindakan yang sama. Dan kita juga harap lebih banyak lagi pencekatan, atau bottom up approach dapat dilakukan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris @ Tubau (Bersatu – Libaran).

Terdahulu, Zakaria ingin mengetahui langkah Kerajaan utnuk menangani isu 20 peratus isi rumah M40 yang beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40, akibat impak COVID-19.

Menjawab soalan itu, Mustapa berkata, berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan, pendapatan purata isi rumah pada 2020 telah menurun sebanyak 10.3 peratus, dengan lebih 600,000 isi rumah M40 telah beralih kepada B40.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jeli itu berkata, biarpun kerajaan lebih mensasarkan B40, beberapa langkah dan strategi juga telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup golongan B40 dan M40.

“Tanda-tanda pemulihan sejak Ogos lalu, kadar pengangguran jatuh kepada 4.6%, indeks pembuatan naik 6.8%, dan apabila ekonomi negara pulih, lebih banyak perniagaan dibuka lebih ramai bekerja.

“Seperti diumumkan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz), Bajet 2021 bertemakan memulih kehidupan, membina daya tahan, dan memangkin daya ketahana. Langkah-langkah untuk meringankan beban rakyat diumumkan Jumaat nanti,” katanya lagi. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *