December 6, 2023

Palestin Kutuk Rancangan Zionis Mahu Bina Lebih Banyak Rumah Orang Yahudi

1 min read

Foto bertarikh 2 Jun, 2008 menunjukkan kawasan penempatan orang Yahudi di Har Homa di Jerusalem, bendera Palestin kelihatan berkibar di Tebing Barat.

Palestin mengutuk perancangan teraru rejim Zionis Israel yang mahu membina lagi banyak rumah untuk orang Yahudi di Tebing Barat.

Oleh itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh menyeru masyarakat antarabangsa terutamanya Amerika Syarikat (AS) untuk bertindak terhadap Israel kerana terus menceroboh tanah Palestin untuk membina penempatan itu.

Kerajaan Palestin juga sedang menunggu jawapan pentadbiran Presiden AS, Joe Biden yang sebelum ini menentang pembinaan penempatan Yahudi kerana ia dilihat menjadi penghalang kepada penyelesaian konflik di negara itu.

Sementara itu, Jordan yang juga sekutu Israel dalam sudut keselamatan turut mengutuk pengumuman itu dan menyelar ia sebagai ‘pelanggaran undang-undang antarabangsa’.

“Pembinaan penempatan dan rampasan tanah Palestin itu secara umumnya adalah ‘tidak sah,” kata Menteri Luar Jordan, Haitham Abu Al-Ful, semalam.

Menteri Perumahan, Zeev Elkin, ahli parti sayap kanan New Hope dalam satu kenyataan berkata, rancangan bagi ‘memperkukuhkan kehadiran Yahudi (di Tebing Barat) adalah penting untuk visi zionis’.

Tender bagi pembinaan 1,355 rumah untuk orang Yahudi di Tebing Barat dikeluarkan Kementerian Perumahan Israel, sekali gus pertambahan 2,000 unit lagi di Tebing Barat, menurut sumber ketenteraan.

Kira-kira 475,000 orang Yahudi kini menduduki secara haram di Tebing Barat ketika ini selepas ditakluk rejim Israel pada 1967 walaupun tindakan itu bertentangan perundangan antarabangsa.

Kumpulan Peace Now yang anti tindakan Israel itu berkata, kerajaan Perdana Menteri Naftali Bennet yang menggulingkan kerajaan bekas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Jun lalu bukan sebuah ‘kerajaan pembaharuan’.

“Kerajaan ini ternyata meneruskan dasar sama seperti dilakukan Netanyahu,” kata mereka yang meminta parti sayap kiri Bennett, Parti Buruh dan parti Meretx untuk menentang rancangan itu secepat mungkin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *