December 6, 2023

Program Pertanian Dalam Bandar Oleh Gelandangan Berjaya Jana Hasil Lebih RM1,000

2 min read

Seorang peserta program pembangunan kendiri gelandangan di Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana, Taman Desa menanam benih timun ke dalam poli beg dalam program pertanian bandar.

 

Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengenalpasti seramai 72 orang gelandangan yang sihat dan produktif untuk menyertai program pembangunan kendiri serta latihan pertanian bandar di Anjung Kelana, Taman Desa, Kuala Lumpur.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata mereka yang terlibat ditempatkan di sana pada 6 Mac lalu melibatkan peserta lelaki sahaja sebagai sebahagian dari komitmen kementerian berkenaan membantu golongan gelandangan.

Dalam program pertanian bandar, para gelandangan yang terlibat dapat menuai hasil timun seberat 866 kilogram (kg) dengan hasil jualan RM757, 361 biji jagung dengan hasil jualan RM262 dan Jus Roselle dengan hasil 100 botol membawa hasil jualan RM220 termasuk pelbagai sayur lain dengan jumlah keseluruhan hasil jualan iaitu RM1,250.

“Penempatan di Anjung Kelana adalah lanjutan program penempatan sementara di Pusat Sementara Gelandangan (PSG) dan pada masa yang sama memastikan kumpulan gelandangan ini tidak terdedah kepada penyebaran COVID-19 pada ketika itu.

“Sepanjang penempatan gelandangan di Anjung Kelana, pihak Yayasan Kebajika Negara (YKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Kebajikan Golongan Asnaf dan Gelandangan (KASGE) telah mengatur program sesuai untuk mengisi modul pembangunan kendiri,” katanya ketika menjawab soalan lisan Senator Nuridah Mohd Salleh ketika sidang Dewan Negara hari ini.

Jalaluddin berkata antara program yang telah dilaksanakan ialah kaunseling berkelompok dan kaunseling individu, sesi perkongsian pengalaman bangkit berdiri, sesi motivasi, kemahiran seni lukisan, kemahiran seni simen, kemahiran asas gunting rambut, kemahiran menulis untuk penerbitan, asas pertolongan cemas dan program pembangunan kerjaya serta pertanian bandar.

“Kesemua gelandangan telah memberi komitmen dan menunjukkan minat dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

“Program yang dijalankan adalah secara santai dan terbuka bagi mewujudkan suasana yang lebih selesa dalam kalangan gelandangan,” katanya.

Dalam program pertanian bandar, hasil sayur lain ialah 5 kg sayur bayam hasil jualan RM3, terung 2 kg dengan hasil jualam RM3, 17.3 kg bunga Roselle dengan hasil jualan RM5 dan sayur Bendi.

Beliau memaklumkan KWP bersama dengan DBKL dan pelbagai agensi kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) sentiasa komited dalam membantu golongan itu supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

Menurutnya, antaranya ialah dengan mewujudkan Pusat Transformasi Gelandangan (PTG) di Jalan Pahang yang menjadi pusat penempatan transit kepada gelandangan sejak tahun 2016 dan PTG di Taman Desa yang dikenali sebagai Anjung Kelana pada tahun ini.

Gambar Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana di Taman Desa.

“Jumlah gelandangan di tiga PTG sehingga bulan September 2021 ialah PTG Jalan Pahang (50 orang), PTG Anjung Kelana (50 orang) dan Anjung Singgah (18 orang).

Jalaluddin berkata selain menyediakan penempatan sementara, kementerian dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan syarikat swasta dan menawarkan peluang pekerjaan kepada gelandangan untuk bekerja dalam sektor perkilangan, pembuatan, makanan, peruncitan dan perkhidmatan melalui Program Penempatan Pekerjaan. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *