October 3, 2023

Khairy Dipilih Wakil Malaysia Sebagai Naib Presiden Di Perhimpunan Kesihatan Sedunia Tahun Depan

2 min read

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika mewakili Malaysia pada Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia Ke-72 (WPRCM) di Himeji,Jepun.

 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipilih secara sebulat suara oleh wakil negara dalam Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia Ke-72 (WPRCM) di Himeji, Jepun untuk mengambil peranan sebagai Naib Presiden pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-75 di Geneva, Switzerland pada 22 hingga 28 Mei 2022.

Pemilihan Khairy Jamaluddin dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui media sosialnya Twitternya sebentar tadi.

Dalam ciapannya, Khairy merakamkan ucapan terima kasih kepada semua wakil negara dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia Rantau Pasifik Barat (WHOPRO) atas pemilihan Malaysia memegang peranan berkenaan.

“Kita (Malaysia) akan bawa suara Rantau Pasifik Barat ke perhimpunan dunia khususnya berkaitan prinsip kesamarataan, solidariti dan akauntabiliti,” katanya.

Beliau akan bersama empat lagi Naib Presiden yang akan mewakili rantau masing-masing di perhimpunan agung yang akan dihadiri 194 buah negara di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pemilihan Naib Presiden dibuat pada sidang tertutup pagi tadi di mesyuarat berkenaan.

Sebelum ini, jawatan Naib Presiden diterajui oleh Mongolia pada 2021 dan Cina pada tahun 2020. Kali terakhir Malaysia menyandang jawatan ini ialah pada tahun 2016 yang diwakili Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan pada tahun 2004 yang diwakili Tan Sri Dr Chua Soi Lek.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyifatkan pemilihan ini sebagai satu penghormatan yang amat besar buat Malaysia khususnya KKM dan seluruh petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga sepanjang pandemik COVID-19 ini.

Sejak 24 Oktober lepas, Khairy bersama Dr Noor Hisham berada di negara matahari terbit berkenaan menghadiri mesyuarat itu yang akan berakhir 29 Oktober nanti.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Dr Noor Hisham dan disertai pegawai kanan kementerian.

Mesyuarat berkenaan membincangkan isu dan resolusi yang telah dipersetujui pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-74 secara atas talian selain cadangan agenda bagi perhimpunan edisi berikutnya nanti.

Antara perkara berbangkit bakal dibincangkan semasa WPRCM Ke-72 termasuklah penjagaan kesihatan primer, Covid-19, kesihatan sekolah, laporan kemajuan program-program teknikal serta usaha koordinasi dan kepimpinan.

Dalam rangka mesyuarat selama lima hari, Khairy turut mengadakan beberapa siri mesyuarat dua hala dengan negara berkepentingan bagi membincangkan isu strategik dua hala dan beliau turut dijemput sebagai Speaker pada satu sesi khas bertemakan Communication for Health yang dijadualkan esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *