October 3, 2023

Jutawan Ditegur Pihak Bank Tidak Pakai Pelitup Muka Merajuk Dan Keluarkan Semua Wang Simpanan

2 min read

Para petugas sebuah bank di Shanghai mengira wang seorang jutawan yang mengeluarkan semua wang simpanannya ekoran merajuk selepas ditegur kerana tidak memakai pelitup muka ketika datang ke kaunter bank berkenaan.

 

Kalau seorang jutawan merajuk dengan bank tempat dia menyimpan wang, dia kemudiannya akan bertindak membawa keluar semua duit simpanannya yang ada dengan bank berkenaan.

Itu yang terjadi di China apabila seorang jutawan membuat keputusan itu selepas ditegur kerana memasuki bank berkenaan tanpa memakai pelitup muka.

Lelaki itu masuk ke dalam bank, namun tidak dibenarkan pengawal keselamatan, kerana dia tidak memakai pelitup muka.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Sunwear itu kemudian dilaporkan mengeluarkan simpanannya di sebuah bank di Shanghai dianggarkan berjumlah 5 juta yuan (kira-kira RM3.2 juta).

Itu adalah jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan dan jutawan itu bercadang akan pergi ke bank berkenaan setiap hari bagi mengeluarkan simpanannya.

Setiap kali pengeluaran dibuat, kakitangan bank perlu mengira setiap wang berkenaan secara manual.

Dalam video yang tular di laman sosial menunjukkan jutawan itu berang dengan layanan yang diterima daripada bank berkenaan.

Lelaki itu menuduh kakitangan bank tidak mempunyai sikap yang baik ketika melayan pelanggan sedangkan dia menyimpan jumlah wang yang banyak.

“Disebabkan tindakan itu, saya akan keluarkan semua wang dan menyimpannya di bank lain,” katanya.

Video yang tular juga memaparkan wang yang banyak dimasukkan ke dalam beg dan dibawa masuk menaiki limosin.

Hantaran video itu menyebabkan pengikutnya meningkat menjadi 1.7 juta.

Dua pekerja bank mengambil masa dua jam untuk mengira semua wang yang dikeluarkan.

Bank berkenaan memaklumkan tiada seorang pun kakitangan mereka yang melakukan perkara didakwa jutawan terbabit.

“Pelanggan itu mengharapkan perkhidmatan kewangan yang sangat tinggi,” lapor bank berkenaan.

Pengurus bank berkenaan berkata, jutawan berkenaan menjadi marah hanya disebabkan ditegur untuk memakai pelitup muka.

Namun sehingga kini, masih tidak diketahui sama ada semua wang di dalam akaun lelaki itu sudah dikeluarkan dari bank berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *