October 3, 2023

Kumpulan Anti Vaksin Tak Mahu Jumpa KKM, Masih Belum Beri Persetujuan Sehingga Kini

2 min read

 

Kumpulan anti vaksin dikhabarkan masih belum beri persetujuan untuk mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk diberikan penjelasan mengenai kebaikan dan kepentingan mengambil suntikan vaksin.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang berkata setakat ini, tiada kumpulan antivaksin yang memberi sebarang maklum balas berhubung perkara itu, selepas cadangan mengenainya diumumkan pertengahan bulan lepas.

“”Setakat ini, tidak ada kumpulan antivaksin yang ‘respon’ dengan saya… tidak ada respon, ‘nobody say yes’. dia orang tak nak jumpa,”

“Perjumpaan dengan golongan antivaksin adalah bagi memberi penerangan. Saya bimbang mereka mendapat maklumat yang salah atau persepsi yang salah, anggapan yang salah,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Triang 2, di Bera, Pahang hari ini.

Dr Noor Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status cadangan dikemukakan dalam sidang Dewan Rakyat pada 17 Oktober lalu untuk mengadakan perjumpaan dengan kumpulan antivaksin, yang masih dengan pendirian mereka menolak vaksin COVID-19.

Selain membabitkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pertemuan dirancang itu juga akan mengemukakan data klinikal yang sahih berkaitan kajian membabitkan vaksin kepada kumpulan berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai proses suntikan vaksin ketika musim tengkujuh yang dijangka melanda pantai timur pertengahan bulan depan, Dr Noor Azmi memberi jaminan program suntikan vaksin tidak akan terjejas sepanjang musim tengkujuh.

Beliau berkata, ketika ini, kira-kira 8,000 klinik swasta dan pakar sudah mendaftar untuk mengambil alih program vaksinasi selepas semua PPV ditutup.

“Sekarang pun sudah banyak PPV ditutup. PPV mega ditutup dan kita akan serahkan kepada klinik swasta untuk meneruskan proses vaksinasi.

“Sebelum ini, kita sudah ada lebih 2,000 klinik swasta berdaftar bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan sekarang kita ada 8,000 lebih yang akan meneruskan program vaksinasi ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga yakin proses suntikan vaksin untuk remaja dapat diselesaikan pada 21 November ini.

Beliau memaklumkan, walaupun kebanyakan PPV sudah ditutup, orang ramai yang masih belum menerima suntikan vaksin boleh mengunjungi klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan temu janji dan suntikan vaksin mereka.

Katanya, di Pahang, seramai 1.11 juta penduduk sudah menerima vaksin lengkap menjadikan kadar imunisasi bagi populasi di Pahang adalah sebanyak 95 peratus.

Daripada jumlah itu, 992,976 orang atau 84.5 peratus adalah golongan dewasa, manakala 119,823 orang adalah remaja.

Bagi dos penggalak yang bermula 15 Oktober lalu, katanya, sejumlah 8,323 petugas barisan hadapan KKM di Pahang sudah menerima suntikan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *